comscore
Tumpuan :
Politik

Kenyataan calon PN dianggap angkuh, tidak hormat Agong

Datuk Sivaraj Chandran

Oleh Kumaran Rajamoney

KULIM: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk Sivaraj Chandran menyelar tindakan calon Perikatan Nasional, Datuk Azman Nasrudin yang menyifatkan pembentukan kerajaan perpaduan sebagai ‘kerajaan zina’.

Disifatkan sebagai angkuh, Sivaraj mendakwa kenyataan sedemikian menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menyelesaikan isu pembentukan kerajaan tergantung sebelum ini.

“Baginda Agong jelas memberikan ruang kepada Pakatan Harapan (PH) dan PN bersama dalam sebuah kerajaan. Namun cadangan itu ditolak kepimpinan PN sendiri.”

“BN yang sejak awal memberi indikasi jelas bahawa kami mengakui kekalahan pada Pilihanraya ke-15 (PRU-15) dan ingin kekal sebagai pembangkang, kemudiannya dipanggil menghadap Agong dan menitahkan agar membentuk kerajaan perpaduan bersama PH.”

Justeru, kenyataan Azman dilihat meyeleweng dan boleh menimbulkan suasana tidak tenteram dikalangan penyokong dan pengundi parti yang bertanding.

“Sudahlah menolak cadangan dan titah Yang di-Pertuan Agong itu sendiri satu perbuatan menghina institusi raja, kini mereka tanpa segan silu menggunakan perkataan ‘zina’ pula,” dakwa beliau.

Beliau yakin penduduk Padang Serai bijak menilai dan mereka amat menghormati institusi raja.

“Azman, sila fahami situasi negara apabila kita tidak dapat membentuk kerajaan walaupun selepas beberapa hari PRU-15. BN terpaksa berganding bahu dengan PH atas titah Yang di-Pertuan Agong serta ekoran daripada implikasi angkuh PN dari titah Baginda,” jelasnya lagi.

Oleh itu, Sivaraj menyarankan kepada Azman supaya mengelakkan dari bermain politik kotor dan jijik untuk menanam kebencian rakyat terhadap BN mahupun dirinya sebagai calon BN.

Sebaliknya Sivaraj mengingatkan Azman supaya mengikuti jejak Nabi Muhammad sebagai seorang pemimpin baik dan menonjolkan sifat yang menolak kejahilan dan angkuh.

Loading...
Terkini