comscore
Tumpuan :
Politik

Kerajaan stabil berupaya tarik pelaburan asing

Ahmad Zahid bersama-sama pemimpin BN Melaka pada program perjumpaan dengan jentera BN Parlimen Masjid Tanah di Kampung Pulau, Masjid Tanah, hari ini.

MASJID TANAH: Pembentukan kerajaan stabil di bawah Barisan Nasional (BN) mampu menarik kembali pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini berbanding situasi sekarang, kata Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menegaskan, amat penting rakyat memberikan kepercayaan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mengembalikan minat pelabur asing di Malaysia.

Ini kerana, katanya, hanya dengan kerajaan yang stabil dan kukuh, mampu berbuat demikian berbanding kerajaan yang goyah akibat ketiadaan majoriti di Parlimen.

Beliau berkata, sebagai contoh, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mac lalu, Johor kembali menduduki tangga pertama berjaya menarik FDI, manakala Melaka yang mengadakan PRN pada November tahun lalu, menduduki tangga kelima.

“Wakil rakyat pembangkang tidak boleh membawa kemajuan dan pembangunan, hanya dengan adanya wakil rakyat yang menyambungkan hubungan terus dengan Putrajaya yang dikuasai oleh BN, kita boleh membawa pembangunan.

“Selepas sembilan bulan Johor kita kuasai, kita berjaya menarik FDI kembali dan sekarang menduduki tangga pertama dan diikuti oleh Melaka di tangga kelima,” katanya berucap pada perjumpaan dengan jentera BN Parlimen Masjid Tanah, di kediaman Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, di Kampung Pulau, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan calon BN kerusi Parlimen Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid meminta pengundi memberikan sokongan kepada BN kerana kerajaan negeri bercadang memajukan kawasan perindustrian baharu seluas 5,000 hektar, di kawasan itu.

Selain itu, kerajaan negeri juga bercadang membina jambatan dan terowong dasar laut menghubungkan Semenanjung dengan Sumatera dengan kawasan utamanya ialah Telok Gong, di sini dan Dumai di Indonesia, katanya.

Ahmad Zahid turut meminta Sulaiman mencadangkan lebuh raya menghubungkan Masjid Tanah dengan Alor Gajah bagi meningkatkan kemajuan ekonomi di kedua-dua kawasan.

Mengenai pencalonan Abdul Hakim, beliau mendedahkan, nama calon itu dipilihnya sendiri dan tiada bantahan daripada Ab Rauf dan Sulaiman kerana beliau mengenali Abdul Hakim yang sekampung dengan isterinya di Kampung Durian Daun, di sini.

“Saya kenal Abdul Hakim sejak dia di tadika lagi dan kita mahu calon anak muda untuk membawa pembaharuan dan pembangunan di kawasan ini dan sudah pastilah beliau akan membawa suara rakyat ke Parlimen,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyangkal desas-desus kononnya pemilihan Abdul Hakim kurang direstui BN Melaka kerana terlalu muda dan kurang dikenali dalam kalangan anggota komuniti.

Selain itu, Ahmad Zahid juga berkata, lagu ‘Undi BN Kembali’ nyanyian penyanyi popular tahun 1980-an, Syed Sobri yang pertama kali didengarnya pada program itu akan berfungsi sebagai lagu rasmi BN di setiap Parlimen di negara ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini