Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kesinambungan pentadbiran BN ke PH di Selangor perlu dikekalkan untuk manfaat rakyat

Oleh Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Kesinambungan pemerintahan kerajaan negeri Selangor daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) perlu diteruskan.

Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata rekod prestasi cemerlang pentadbiran Selangor itu harus dikekalkan untuk manfaat rakyat.

“Selangor ini BN tadbir 60 tahun. Lepas itu BN kalah. Kemudian diambil alih oleh Pakatan Harapan. Tetapi kita tengok dia boleh perintah Selangor. Sekarang BN dan PH rakan kerjasama, maka bagus lah, ini bermakna Pakatan Harapan pun ada pengalaman mentadbir negeri, BN ada pengalaman rekod prestasi 60 tahun, jika digabungkan di akhirnya rakyat akan dapat manfaat,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO ditemui bersama calon PH bagi dewan undangan negeri (DUN) Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli berkempen di Pasar Tani Setiawangsa di Jalan AU2.

Tambah Johari lagi, tidak kira di peringkat pusat atau negeri, apa yang penting adalah kestabilan politik dan pemimpin yang berwibawa di pelbagai peringkat.

 

Bagi Juwairiya, perpaduan PH-BN dizahirkan menerusi kempennya di DUN Hulu Kelang apabila mendapat sokongan jentera BN.

Bekas ADUN Bukit Melawati itu turut dibantu untuk memenangi hati pengundi ‘putih’ BN.

“Berdasarkan data dan keputusan pilihan raya yang lepas Barisan Nasional mempunyai pengundi tegar daripada kalangan ahli mereka sendiri. Hampir 11,000 pengundi mereka yang kekal. Inilah yang kita akan beri tumpuan untuk keluar pengundi putih BN untuk keluar menyokong Pakatan Harapan. Namun demikian apa yang saya lihat perlu penerangan yang lebih jelas kepada ahli-ahli UMNO khususnya yang veteran,” jelasnya.

Mengakui pandangan penganalisis politik bahawa ada kemungkinan pengundi muda tidak akan keluar mengundi 12 Ogos nanti, Juwairiya berkata pihaknya berusaha mendekati sebanyak mungkin golongan itu termasuklah pengundi wanita yang merupakan jumlah pengundi tertinggi di DUN Hulu Kelang dengan wanita 49 peratus dan bawah 40 tahun, 47 peratus.

Setakat ini Timbalan Ketua Wanita PKR yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor itu telah turun padang ke semua 20 pusat daerah mengundi dalam DUN Hulu Kelang bagi meraih kepercayaan buatnya yang bersedia berkhidmat di kawasan itu.

Kerusi DUN Hulu Kelang menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Juwairiya dengan calon Perikatan Nasional P-N yang juga Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor, Saari Sungib merupakan penyandang kerusi itu selama tiga penggal berturut-turut tidak bertanding atas alasan kesihatan.

Loading...
Terkini