comscore
Tumpuan :
Politik

Keyakinan Khairy mahu menjadi PM perlu dilihat dari sudut positif

KOTA BHARU: Hasrat calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin untuk menjadi Perdana Menteri pada masa depan menunjukkan sifat keyakinan diri beliau yang amat bagus selain ia juga perlu dilihat dari sudut positif.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, keyakinan diri yang ditunjukkan oleh penyandang Parlimen Rembau itu sekaligus menunjukkan beliau seorang calon yang mempunyai personaliti, ‘track rekod’ dan seorang yang berpengalaman luas.

“Ini adalah satu pernyataan keyakinan diri yang sangat bagus dan pada saya itu adalah antara sifat-sifat yang mempunyai keyakinan diri, tidak ada ‘influent complex’ dan beliau masih menyatakan komitmennya.

“Malah saya juga mengakui apabila beliau membuat kenyataan sedemikian, sambutan yang diterima begitu hangat sekali,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Komuniti Esports Keluarga Malaysia @Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Khairy menyuarakan hasrat memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, satu hari nanti.

Pada pentas ceramah di Taman Saujana Utama baru-baru ini, Khairy yang pertama kali menyatakannya secara terbuka hasratnya itu bagi meraih sokongan pengundi di Parlimen itu untuk memilihnya pada PRU-15, 19 November ini.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan itu menjelaskan jawatan itu bukan menjadi hasratnya ketika ini kerana persetujuan sudah dicapai bahawa Ismail Sabri yang disifatkan sebagai kekandanya, akan menjadi Perdana Menteri jika BN memenangi PRU-15.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, segala penyataan hasrat yang dibuat oleh Khairy adalah untuk masa akan datang, malah beliau sendiri turut menjelaskan calon Perdana Menteri untuk PRU-15 adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Bagaimanapun, beliau (Khairy) masih tetap dengan kenyataannya sebelum ini bahawasanya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah calon tunggal untuk menjadi Perdana Menteri BN dapat membentuk kerajaan pada pilihanraya umum kali ini,” katanya.

Loading...
Terkini