HOME / Politik

Khairuddin Aman Razali Digugur Daripada AJK PAS Pusat – Presiden

MARANG: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali digugurkan daripada menganggotai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sesi 2021-2023.

Perkara itu disahkan oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Rusila di sini hari ini.

“Itu (digugurkan) biasa dalam parti… tak terpilih dalam muktamar, diberhentikan, ditukarkan (jawatan) itu biasalah. Dalam parti, ada Lembaga Disiplin.

“Siapa yang tak ikut disiplin dia boleh dinasihatkan untuk ditukar jawatannya, bertugas lain, boleh digantung keahlian dan boleh dipecat, banyak alasan, itu tatacara dalam parti kita,” katanya.

Difahamkan pengguguran Mohd Khairuddin itu dimuktamadkan dalam mesyuarat AJK PAS Pusat yang berlangsung di Kuala Lumpur Rabu lepas.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu gagal mempertahankan jawatan sebagai AJK PAS Pusat bagi sesi 2021-2023 yang berlangsung pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina Resort, Kuala Nerus, 7 Nov tahun lepas.

Bagaimanapun beliau dilantik semula sebagai AJK PAS Pusat bersama dua pemimpin lain iaitu Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz. – BERNAMA