comscore
Tumpuan :
Politik

KJ gesa pemimpin kanan desak Zahid berundur

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus menerima asakan daripada pemimpin muda agar melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO.

Terkini, Timbalan Ketua UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin menerusi muat naik di Instagramnya tampil menggesa pemimpin kanan BN dan UMNO agar senada bagi mendesak Ahmad Zahid berundur daripada tampuk kepemimpinan gabungan itu.

“Onn (Menteri Besar Johor merangkap Pengarah Operasi Pilihan Raya BN negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi) dan Shahril (bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan) ‘have done the right thing’ (sudah lakukan tindakan tepat).

“‘Now senior leader must follow’ (kini pemimpin kanan pula perlu menyusulinya). Takkan tengok sahaja. Menang sorak di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, negara tergadai,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Shahril mengumumkan meletak jawatan Ketua Penerangan UMNO dan mendesak Ahmad Zahid berundur secara terhormat susulan prestasi buruk parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam.

Calon Barisan Nasional (BN) itu yang tewas kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari di Parlimen Alor Gajah dalam persaingan empat penjuru, dilaporkan berkata beliau sependapat dengan pendirian Onn berkaitan kedudukan Ahmad Zahid.

Desakan Shahril itu menyusuli gesaan Onn supaya Ahmad Zahid meletak jawatan dengan segera sebagai tanggungjawab atas kekalahan BN dan UMNO yang mencatat prestasi terburuk pada PRU-15.

Senada dengan gesaan itu, EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin turut mendesak agar pemilihan parti yang sebelum ini ditetapkan perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU-15, dilaksanakan segera.

Loading...
Terkini