comscore
Tumpuan :
Politik

KJ saran pengundi awal tunai tanggungjawab

Foto: NSTP

SUNGAI BULOH: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin merayu pengundi awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka, hari ini.

Beliau yang melakukan tinjauan proses pengundian awal di Balai Polis Kampung Baru Subang, di sini, berpuas hati dengan proses pengundian yang berjalan lancar.

“Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan tiada apa-apa masalah.
“Saya harap semua pengundi awal terutama mereka yang bertugas sebagai anggota pasukan ‘beruniform’ (seragam) untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan selamat dan bijak,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Khairy turut menasihati pengundi untuk keluar mengundi awal berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan pada waktu petang.

Seramai 531 pegawai dan anggota polis di Parlimen Sungai Buloh terbabit mengundi awal hari ini.

Sementara itu, Khairy turut meluangkan masa meninjau proses pengundian awal di Kem Tentera Sungai Buloh, di sini.

Sejumlah 1,025 anggota tentera dan pasangan terbabit dalam pengundian awal yang diketuai Panglima 11 Briged, Brigadier Jeneral Fazal Abd Rahman.

Dua anggota tentera kem itu positif Covid-19 turut menunaikan tanggungjawab mereka sambil diiringi pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 15 November sebagai hari pengundian awal manakala 19 November sebagai hari mengundi.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini