comscore
Tumpuan :
Politik

Konsep kerajaan perpaduan tidak lengkap tanpa penyertaan GPS

Oleh Kadir Edison

KUCHING: Pembentukan Kerajaan Persekutuan berdasarkan konsep kerajaan perpaduan tidak akan lengkap tanpa penyertaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Selain menjadi gabungan yang mentadbir kerajaan Sarawak, GPS juga adalah gabungan keempat terbesar yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 selepas Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen berkata sebagai sebahagian daripada Malaysia, kejayaan atau kegagalan negara akan turut memberi kesan secara langsung kepada Sarawak.

Justeru katanya, semua pihak perlu mengenepikan perbezaan sebelum ini dan bersatu untuk membina semula negara untuk kebaikan rakyat.

“Pada saya, saya menyatakan pendirian saya dengan jelas yang saya berpandangan bahawa untuk mempunyai kerajaan perpaduan yang sebenar, GPS perlu menjadi sebahagian daripadanya.

Oleh yang demikian saya akan berasa amat gembira untuk melihatnya (GPS menyertai Kerajaan persekutuan) menjadi kenyataan” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai sesi perbahasan Belanjawan 2023 Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri DUN Sarawak di Kuching.

Semalam, Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan GPS bersetuju untuk membentuk Kerajaan Persekutan menggunakan konsep kerajaan perpaduan apabila akur dengan titah Yang Di-pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.

Persetujuan itu sekaligus menamatkan kemelut politik pasca PRU-15 dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah ke jawatan Perdana Menteri ke-10.

Loading...
Terkini