comscore
Tumpuan :
Politik

KuNan dakwa difitnah tabur habuan pengundi balik mengundi

Tengku Adnan Tengku Mansor

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Belum reda kes poster dikhianati dengan disembur cat hitam dan perkataan kesat, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sekali lagi menerima tempias kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kali ini penyandang kerusi selama empat penggal itu mendakwa difitnah kononnya memberikan habuan sebanyak RM300 kepada pengundi luar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan untuk balik mengundi.

“Itu adalah satu fitnah yang dilemparkan kepada saya. Saya tidak buat begitu. Saya harap sesiapa yang hendak bertanding jangan main fitnah sembarangan. Kita ikut apa yang baik untuk kempen kita.

“Tapi puak belah sana saya tidak tahu apa tujuan mereka. Saya harap mereka hentikan fitnah sebegini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini hari ini.

Bendahari UMNO itu berkata, beliau tidak akan memberi duit kepada pengundi untuk meraih sokongan kerana menjadi kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Pengundi Luar BN di Balai Polis Presint 7 semalam untuk menafikan dakwaan berkenaan.

Terdahulu, tular mesej melalui aplikasi Whatsapp kononnya pengundi luar Putrajaya diminta mengisi segera borang secara dalam talian bagi mendapatkan tuntutan bantuan elaun perjalanan untuk mengundi kerusi Parlimen berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A.Asmadi Abdul Aziz mengesahkan menerima laporan tersebut.

Beliau berkata, dalam laporan berkenaan, pengadu menafikan pernah mengeluarkan tawaran atau apa-apa pautan yang menawarkan tuntutan wang perbelanjaan sebanyak RM300 kepada pengundi luar Putrajaya.

Loading...
Terkini