comscore
Tumpuan :
Politik

Langkah pertama PM tubuh kabinet kecil tetapi cekap – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR: Langkah pertama yang perlu diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah menubuhkan barisan kabinet yang lebih kecil tetapi cekap.

Pengarah Urusan Tony Blair Institute, Abdul Jalil Rasheed, berkata barisan kabinet kelak perlulah benar-benar cekap dan memberikan penjimatan kepada negara.

“Mungkin ini masanya untuk Perdana Menteri (PM) mempertimbangkan semula keputusan melantik Timbalan Menteri.

“Selain itu, jika kita akan mempunyai dua atau tiga orang Timbalan Perdana Menteri (TPM), tugas dan tanggungjawab yang diberikan juga harus berganda seperti sebagai Menteri Penyelaras bersama menteri yang lain.

“Ini bagi membolehkan TPM memantau bidang-bidang tertentu dalam pertumbuhan pembangunan utama seperti infrastruktur, keselamatan, pembangunan negara dan ekonomi,” katanya dalam ciapan di Twitter hari ini.

Pembukaan semula ekonomi sepenuhnya mendorong pertumbuhan penggunaan swasta FOTO: NSTP

Abdul Jalil yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Berjaya Corporation Bhd turut memberi contoh tugas yang boleh dilaksanakan oleh TPM sebagai Menteri Penyelaras dalam kabinet kecil.

Beliau berkata, sebagai contoh untuk ekonomi adalah memantau bidang berkaitan kewangan, perdagangan antarabangsa serta domestik manakala untuk pembangunan negara memberi fokus kepada pendidikan serta perpaduan.

Katanya, begitu juga bagi fungsi TPM sebagai menteri penyelaras untuk infrastruktur (kewangan, pengangkutan dan kerja raya) serta keselamatan (dalam negeri dan perundangan).

“Ia adalah contoh gambaran tetapi ideanya adalah seperti ini. Beberapa kementerian seperti berkaitan ekonomi dan kewangan akan berganda berdasarkan peranan mereka.

“Ini adalah perkara biasa di banyak negara untuk mengelakkan pertindihan serta memastikan keputusan dibuat lebih cepat dan PM hanya mengawasi dengan individu penting,” katanya.

Abdul Jalil berkata, agensi kerajaan di bawah setiap kementerian juga perlu dilihat kembali sama ada mereka berada di bawah kementerian berkaitan yang tepat atau sebaliknya.

Beliau berkata, sebagai contoh, terdapat beberapa agensi yang berkaitan dengan pengangkutan yang terletak di bawah Kementerian Kewangan dan bukannya di bawah Kementerian Pengangkutan.

Foto hiasan

Katanya, selain itu, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) perlu ditubuhkan kembali sebagai sebagai satu agensi pusat untuk semua pembangunan ekonomi supaya ada pemantauan berterusan.

“Dengan sistem ini, anda mendapat penyelarasan yang lebih baik dan tidak perlu menubuhkan kementerian atau menteri baharu serta menggunakan agensi sedia ada untuk memberi tumpuan yang lebih jelas.

“Saya hanya sekadar berkongsi perkara yang telah dilakukan oleh negara lain dengan lebih baik terutamanya dalam hal pelaksanaan yang sering menjadi masalah dalam kerajaan,” katanya.

Loading...
Terkini