comscore
Tumpuan :
Nasional

Langkah UMNO bangkit semula – Zahid

 

Zahid memasukkan kertas undi ke dalam peti undi sempena Pemilihan UMNO Bahagian Bagan Datuk, hari ini.

BAGAN DATUK: Ini langkah kebangkitan UMNO. Itulah yang disifatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap proses pemilihan pucuk pimpinan UMNO di peringkat nasional dan 191 bahagian yang berlangsung hari ini.

Menurut Presiden UMNO itu lagi, keputusan pemilihan itu penting bagi membolehkan UMNO bergerak sebagai satu pasukan mantap bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) bersama parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, situasi ramai ahli mencalonkan diri bagi pemilihan kali ini juga membuktikan demokrasi diraikan di dalam UMNO.

“Pada pengamatan saya, kemeriahan demokrasi sedang berjalan dalam UMNO walaupun terdapat pihak yang mendakwa parti ini mengalami kemalapan, ramai mahu menaruh diri.

“Terdapat 95 calon ahli Majlis Tertinggi yang akan dipilih 25 orang. Terdapat lapan calon Naib Presiden (yang dipilih hanya tiga), terdapat 10 calon Timbalan Pengerusi Tetap (yang dipilih hanya seorang) dan terdapat dua calon Pengerusi Tetap, kita hanya pilih seorang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, penyusunan semula jentera parti nanti bakal membawa UMNO keluar dari kepompong.

“Kita sedang jalinkan hubungan dengan NGO Melayu dan bukan Melayu dan beberapa langkah lain bagi mendokong cita-cita mengukuhkan parti serta menggamit semula sokongan rakyat khasnya pengundi baru.

“Biarkan pun meraikan perbezaan pandangan dan pendapat, tetapi jangan kita berbeza pendirian apabila membuat keputusan yang besar (PRN).

“Keserasian antara UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersama dengan parti yang mendokong Kerajaan Perpaduan hendaklah terjamin bukan saja di peringkat nasional, malah perlu juga sehingga ke peringkat lokaliti,” katanya. — HARIAN METRO

Loading...
Terkini