comscore
Tumpuan :
Nasional

Lembaga Disiplin UMNO tak pernah nasihat pecat, gantung pemimpin – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin UMNO semalam tidak melalui proses sewajarnya serta wujud kecacatan dalam proses berkenaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, beliau dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin parti juga tidak pernah menasihatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengambil sebarang tindakan sedemikian, sebaliknya hanya pemakluman mengenai terdapat laporan dibuat terhadap pemimpin yang dituduh.

“Sebagai sebuah parti bertamadun, UMNO mesti dilihat telus dalam membuat sebarang tindakan.

“Saya menyatakan tidak setuju dengan keputusan itu atas alasan pemecatan dan penggantungan dibuat dengan tidak mematuhi proses perundangan serta bertentangan dengan prinsip ‘natural justice’ seperti membela diri,” katanya dalam posting di Instagram beliau malam ini.

Ismail Sabri menjelaskan, di sebalik tindakan pecat dan gantung yang diumumkan malam tadi itu, tiada surat tunjuk sebab bagi yang dituduh mengetahui pertuduhan terhadap mereka, selain tidak diberi ruang menjawab pertuduhan melalui surat tunjuk sebab.

“Jika yang menuduh tidak puas hati, maka yang dituduh perlu dirujuk kepada pendengaran dalam jawatankuasa disiplin bagi mempertahankan diri. Beliau boleh membawa saksi, tuduhan perlu dibuktikan.

“Jika jawatankuasa disiplin mendapati yang dituduh bersalah atau sebaliknya, maka jawatankuasa disiplin perlu memberi cadangan kepada jawatankuasa pengurusan UMNO.

“Jawatankuasa pengurusan UMNO perlu berbincang dan membawa cadangan ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk keputusan. Proses ini tidak dilaksanakan,” katanya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataannya malam tadi mengesahkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli MKT UMNO, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada partinya.Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan pula digantung keahlian selama enam tahun.

Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang, Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif juga berdepan nasib sama digantung keahliannya, sementara Ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya diberi surat tunjuk sebab.

Sementara lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO negeri Pahang, dipecat keahliannya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini