comscore
Tumpuan :
Politik

Lupakan sengketa, jadikan persahabatan ini kekal lama- Zahid Hamidi

Oleh: Kumaran Rajamoney

KULIM: Gabungan Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan, tidak boleh menjadi persahabatan sekadar satu penggal.

Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perpaduan ini sebaliknya perlu terus diperkemas dalam menjadikannya lebih kukuh dengan keikhlasan menjadi asas kepada kedua-dua parti.

Sekaligus menjadikannya sebuah gabungan parti yang besar.

Mengingatkan pepatah  “Tidak ada kawan atau musuh yang kekal dalam politik”, beliau mahu kerjasama itu menjadi nadi perjuangan isu rakyat.

“InsyaAllah kerjasama kita ini bukan bagi tempoh 5 atau 10 tahun, tetapi asas keikhlasan kerjasama ini akan menjadikan ianya sebuah gabungan besar membawa negara ke arah kegemilangan untuk tempoh yang lebih lama.”

“Saya yakin dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Perpaduan ini akan memastikan isu ekonomi dan kos sara hidup diatasi dengan baik selain mendapat keyakinan pelabur asing,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN bersetuju untuk bersama PH sebagai rakan politik kerana Majlis Kerja Tertinggi UMNO percaya negara memerlukan kerajaan mewakili masyarakat pelbagai kaum.

Ia berbeza dengan naratif agama dan bangsa yang dijaja Perikatan Nasional (PN) sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kita janggal untuk bersama dengan PH. Dulu kami alergi dengan warna biru muda (Warna PKR), namun percayalah alergi itu ada ubatnya. Ubatnya ialah keikhlasan untuk kita bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan yang kuat.

“Maka atas dasar itulah kita harus melupakan perbedaan-perbedaan dalam kalangan kita (walaupun) baru dua minggu yang lalu saya kutuk mereka, mereka kutuk saya,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berucap pada Ceramah Mega Ayuh Malaysia Padang Serai sempena PRU-15 Parlimen Padang Serai di Kampung Tunku Putra, di sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi; Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merangkap Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Loading...
Terkini