Oleh: Selwam Arjunan
PERAI: Bekas Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Prof Dr P Ramasamy yang keluar dari DAP hari ini mendakwa tindakan seorang pemimpin tertinggi DAP yang digelar “maharaja” adalah punca krisis dalaman yang melanda parti berkenaan.
Beliau menyifatkan keputusan yang diambil oleh individu berkenaan serta pemimpin sekutunya dalam pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah penyingkiran politik terhadap golongan tertentu atas nama peremajaan parti.
“Individu yang terkenal dengan gelaran “Maharaja” adalah punca kepada krisis yang sedang berlaku di DAP Pulau Pinang.
“Kepimpinan parti di peringkat kebangsaan nampaknya bergantung kepada individu ini yang digelar “Maharaja” ini.
“Senarai calon yang dikemukakan (Pengerusi DAP Pulau Pinang) Chow Kon Yeow selaku Ketua Jawatankuasa Negeri dengan lima keahlian telah diketepikan.
“Terdapat beberapa pemimpin yang baik dalam DAP, tetapi kemerosotan ke arah politik yang kurang bermutu dan sikap akur kepada kepemimpinan tertinggi nampaknya tidak dapat dielakkan,” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Adun Perai, di Taman Chai Leng, di sini, pagi tadi.
Ujarnya, parti mempunyai hak untuk menggugurkan beliau dan lima lagi Adun yang lain, namun mempersoalkan motif di sebalik keputusan yang bersifat berat sebelah.
Tambahnya, beliau memahami mengapa pemimpin veteran digugurkan, tetapi mempertikaikan tindakan menggugurkan calon-calon muda yang berkhidmat dengan baik sebagai Adun.
Beliau merujuk kepada pengguguran Yeoh Sin Yin (Paya Terubong), Soon Lip Chee (Bagan Jermal) dan Satees Muniandy (Bagan Dalam), manakala bekas Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, David Marshel yang dicadang sebagai calon Dun Perai turut diketepikan.
“Ini bukannya proses peremajaan atau pemulihan parti, tetapi penyingkiran politik untuk mengenepikan mereka yang dilihat atau dibayangkan sebagai penyokong kepada penyandang jawatan Ketua Menteri iaitu Chow Kon Yeow.
“Chow mungkin telah dilantik semula sebagai Ketua Menteri tetapi beliau tidak mempunyai sokongan dalam barisan calon-calon DAP negeri sekarang.
“Ada kemungkinan Chow Kon Yeow tidak akan memegang jawatan Ketua Menteri untuk tempoh yang penuh walaupun telah diberi jaminan oleh pemimpin-pemimpin parti peringkat nasional.
“Tindakan penyingkiran yang serong ini telah disokong oleh para pemimpin di peringkat nasional,” katanya lagi.
Katanya, beliau akan berkempen buat Satees dan David dalam PRN ini memandangkan mereka telah menzahirkan sokongan buat Chow sekiranya menang di kawasan masing-masing.
Bagi langkah seterusnya, ujarnya beliau memerlukan masa untuk membuat keputusan dan perlu berani membuat beberapa rancangan tentang peranannya dalam arena politik Malaysia secara menyeluruh.
Sambil menegaskan terus berjuang untuk menentang ketidakadilan, diskriminasi dan penindasan, beliau juga menafikan menyertai mana-mana parti politik lain, khususnya Perikatan Nasional.
“Impian saya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih baik untuk semua dan memastikan masa depan adalah terjamin dengan baik untuk generasi akan datang.
“Saya akan terus menyokong gabungan politik PH secara amnya dan kepimpinan Anwar Ibrahim dan Chow Kon Yeow,” tegasnya.