comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Manifesto BN bukan umpan ‘gula-gula’

Oleh Izzatie Rizan

SENDAYAN: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan malam tadi bukan sekadar janji manis seperti yang ditabur pembangkang.

Sebaliknya Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia adalah perancangan praktikal dalam mengurus negara ke arah lebih mampan, stabil dan makmur.

Jelas beliau, manifesto BN menitikberatkan pelbagai aspek, terutama dalam menyelesaikan kemelut sosio-ekonomi yang melanda rakyat ketika ini.

“Barisan Nasional bukan kerajaan budak-budak macam main pondok-pondok…nak mengurus negara mesti serius dan praktikal.

“Ianya bukan seperti baling ‘gula-gula’ nanti undilah saya…itu bukan cara Barisan Nasional.

“BN sudah lama mentadbir dan mempunyai pengalaman luas untuk itu kita tahu dari sudut dan aspek mana yang perlu diberikan perhatian,” katanya ketika ditemui pada program bersama penduduk Sendayan Indah malam tadi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata rakyat kini sudah bijak menilai umpan pembangkang yang didakwa tidak realistik.

“Percayalah kepada orang yang merancang, orang yang merancang ini adalah orang yang memikir masa depan,”

“Orang yang berjanji adalah orang yang tak memikir masa panjang. dia cuma pandang masa depan 100 hari 200 hari sahaja itu sebab tak tahan 22 bulan hanyut,” katanya.

Mohamad Hassan atau lebih dikenali Tokmat merupakan calon BN Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau akan berdepan saingan sengit lima penjuru daripada Pakatan Harapan (PH) yang mengetengahkan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha; Perikatan Nasional (PN) yang menampilkan Setiausaha Badan Perhubungan PN negeri, Mohd Nazree Mohd Yunus serta Ramly Awalludin (Pejuang) dan S Tinagaran (Parti Sosialis Malaysia).

Loading...
Terkini