comscore
Tumpuan :
Politik

Manifesto BN: Isu pendidikan jaminan berharga ditawarkan – Reezal

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

GEORGE TOWN: Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mencakupi semua dan bersifat inklusif dalam membantu rakyat Malaysia, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata manifesto BN agak praktikal dan banyak berkaitan soal pendidikan untuk membantu golongan B40 dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi.

“Saya amat suka bila ia (manifesto) menyentuh soal pendidikan terutama prasekolah dan pendidikan B40.

“Ini adalah satu jaminan yang saya anggap amat berharga ditawarkan oleh BN, antaranya untuk memberi pendidikan percuma kepada anak-anak B40 yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan ziarah kasih di sini hari ini.

Sementara itu, Reezal Merican yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkata beliau akan mengumumkan manifesto Ikrar Demi Kepala Batas pada Jumaat ini, yang merangkumi dasar-dasar keperluan rakyat dan keseluruhan ekosistem kawasan itu.

Calon-calon di P041 Kepala Batas

Beliau yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas atas tiket BN-UMNO itu, berdepan saingan empat penjuru iaitu Muhammad Danial Abdul Majeed (Pakatan Harapan-Muda), Dr. Siti Mastura Mohamad (Perikatan Nasional-PAS) dan Hamidi Abu Hassan (Gabungan Tanah Air-Pejuang).

Semalam, BN menampilkan manifesto dinamakan Perancangan Amal dan Usaha (PADU) yang menggariskan 10 teras dan 99 tawaran untuk rakyat Malaysia sekiranya diberikan mandat membentuk kerajaan Persekutuan, dan empat daripada teras itu memfokus kepada isu pendidikan. – BERNAMA

Loading...
Terkini