comscore
Tumpuan :
Politik

Manifesto BN : Pengecualian yuran IPTA bantu ekonomi pelajar B40

| Oleh Nurul Amalina Zainudin

KOTA BHARU : Tawaran pendidikan tinggi percuma kepada anak golongan B40 di semua universiti awam atau institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini, dalam manifesto Barisan Nasional (BN) disifatkan bertepatan dengan keadaan pasca COVID-19.

Calon BN Parlimen Kota Bharu, Datuk Rosmadi Ismail berkata manifesto itu adalah yang terbaik tatkala ramai yang terkesan dengan ekonomi masa kini.

“Dalam pendidikan ni, kekangan paling utama ialah kos, bila kerajaan dapat membantu dari segi pengecualian yuran dan lain-lain, saya rasa ia akan mengurangkan tekanan dan bebanan kepada ibu bapa dan pelajar itu sendiri,” katanya.

Calon BN Parlimen Kota Bharu, Datuk Rosmadi Ismail hadir dalam program solat hajat bersempena pembukaan rasmi bilik gerakan PDM DUN Bunut Payong di Kota Bharu, malam tadi.

Beliau ditemui selepas majlis solat hajat sempena pembukaan rasmi bilik gerakan PDM DUN Bunut Payong, Kota Bharu, malam tadi.

Bercakap mengenai kempen, beliau turut menyatakan hasrat untuk ‘meremajakan’ semula Kota Bharu.

Antara yang pembangunan yang dirancang termasuklah menyediakan 5,000 unit rumah di bawah projek perumahan rakyat (PPR) bagi mengurangkan kos sara hidup masyarakat di kawasan itu.

“Di sini Kota Bharu semua orang tahu nilai tanah sangat tinggi dan penduduk kebanyakannya tidak mampu membeli tanah di Kota Bharu, jadi saya rasa kerajaan wajib bertanggungjawab melihat projek perumahan rakyat ni,” katanya.

Menurut beliau, ketika Parlimen Kota Bharu dimenangi BN, sebanyak 1,000 rumah PPR telah dibangunkan.

Parlimen Kota Bharu menyaksikan persaingan sengit apabila enam parti politik bersaing merebut kerusi tersebut pada PRU-15, 19 November ini.

Lima calon mencabar Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mempertahankan kerusi terbabit.

Calon berkenaan iaitu Naib Ketua UUMNO Kota Bharu, Datuk Rosmadi Ismail, Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim, Prof Datuk Dr Che Musa Che Omar (Putra), Tan Boon Kian @ Andy Tan (PRM) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

Loading...
Terkini