comscore
Tumpuan :
Politik

Mas Ermieyati Sedia Berdepan Sulaiman, Rauf Di Masjid Tanah

Oleh Baharuddin Mohamed

ALOR GAJAH: Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bersedia berdepan dengan sesiapa sahaja di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ia termasuk kemungkinan berdepan dua nama besar dari UMNO iaitu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali atau Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, beliau akan menggunakan segala strategi untuk berdepan dua nama besar itu selepas pucuk pimpinan parti memberi bayangan untuknya kekal di Parlimen berkenaan pada PRU kali ini.

“Sebenarnya nama Ketua Menteri ini bukan sehari dua (disebut), dah lama kita dengar dan kalau beliau dicalonkan, suka atau tidak, saya kena hadapi.

“Saya akan cuba sedaya upaya, dengan kudrat dan kekurangan yang ada termasuk ‘track record’ perkhidmatan, itu sahaja yang akan saya pertaruhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di pejabatnya di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah, di sini hari ini.

Ditanya adakah beliau tidak gentar berdepan calon yang akan dipertandingkan, Ermieyati sebaliknya berkata masih terlalu awal untuk menyatakan keyakinannya.

“Saya rasa saya terlalu awal untuk nyatakan perkara itu (kerana) saya lihat hari ini jumlah pengundi dengan pertambahan yang besar daripada 50,000 lebih pengundi menjadi 69,098 orang hari ini, cabarannya adalah besar.

“Jumlah pengundi muda di bawah 40 tahun di Masjid Tanah sahaja sekitar 51 peratus dan ia agak besar untuk kita lihat bagaimana masalah yang menghimpit warga muda ini dapat diatasi terutama dalam isu ekonomi, pekerjaan dan sosial,” katanya.

Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 sebelum menyertai Bersatu pada 13 Disember 2018.

Semalam, Sulaiman menyatakan kesediaannya untuk bertanding di mana-mana enam kerusi Parlimen negeri termasuk Masjid Tanah jika diarahkan pucuk pimpinan parti.

Selain nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu, nama Ab Rauf yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah dan ADUN Tanjung Bidara turut disebut-sebut bertanding di Parlimen Masjid Tanah.

Loading...
Terkini