SEREMBAN: Masih ramai kaum Melayu didakwa tidak ingin keluar mengundi dalam pilihan raya.
Dakwa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tindakan itu membuktikan bahawa golongan berkenaan masih tidak menyedari bahawa mengundi adalah suatu kuasa politik.
“(Peratusan) kaum lain keluar mengundi 90 peratus (tapi) orang Melayu (yang) keluar mengundi 70 peratus. Masih ramai yang tak mahu mengundi. Kalau kita tak mengundi, bermakna kita menghilangkan kuasa politik. Mana-mana parti yang menang pilihan raya, dia dapat kuasa politik.
“Maka orang Melayu Islam termasuk bukan Islam yang tidak ekstrem perlu menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membuat perubahan yang baik,” katanya semasa berucap pada Majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best di Sendayan malam tadi.
Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa, kemenangan PN dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini akan membolehkan berlakunya perubahan dalam kerajaan Persekutuan.
“Kalau menang (enam negeri) ini, akan berlaku perubahan kerajaan Pusat, itu maknanya. Maka kewajipan mengundi sangat besar,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai naratif kemenangan PN di enam negeri membolehkan kerajaan Persekutuan bertukar, Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita selepas itu menyatakan pelbagai cara boleh dilakukan.
“Di negara kita, walaupun ada Akta Anti Lompat Parti, tetapi ada proses undang-undang yang boleh dijalankan untuk menukar sesebuah kerajaan.”Begitu juga kerajaan negeri lain, ada proses perundangan mengikut Perlembagaan yang boleh dibuat,” katanya.