comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] MCA desak Zahid berundur

 

KUALA LUMPUR: Selepas pelbagai desakan daripada UMNO menuntut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur, hari ini MCA pula menyatakan pendirian sama.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Choong Sin Woon dalam satu kenyataan berkata pendirian itu dibuat selepas Datuk Seri Ahmad Zahid dilihat mengambil keputusan bertentangan seperti diputuskan Dewan Tertinggi BN.

Beliau merujuk surat yang tular hari ini, mendakwa Datuk Seri Ahmad Zahid menerusi suratnya kepada Yang di-Pertuan Agong mempersembah cadangan sokongan Ahli Parlimen BN kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Keputusan dua mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam ialah BN tidak akan menyokong mana-mana parti pada peringkat ini.

“Pada mesyuarat Dewan Tertinggi itu, MCA dan parti komponen BN lain turut mempersoalkan mengapa Datuk Seri Ahmad Zahid melanggar resolusi BN. Beliau yang menafikan pada mulanya, namun kemudian mengakui berbuat demikian selepas bukti dikemukakan,” kata Setiausaha Agung MCA itu dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata, Datuk Seri Ahmad Zahid jelas melanggar keputusan kolektif Dewan Tertinggi BN semalam dan gagal menyampaikan ketetapan yang dipersetujui Ahli Parlimen BN kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh itu, saya percaya Datuk Seri Ahmad Zahid tidak lagi mampu untuk terus menerajui BN dan meminta beliau untuk berundur secara bermaruah dan (tugasnya) digantikan oleh Datuk Mohamad Hassan seperti yang dicadangkan ketika mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam.”

Loading...
Terkini