comscore
Tumpuan :
Politik

MCA sokong kerajaan perpaduan

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon – FOTO

KUALA LUMPUR: MCA, hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap kerajaan perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon, berkata ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung penubuhan kerajaan perpaduan, dengan penyertaan pelbagai parti politik.

“Usaha ke arah perdamaian nasional antara gabungan pemerintah dan pembangkang memberi manfaat yang lebih besar dan mendorong kepada kepentingan negara kita.

“Justeru, MCA menggesa semua rakyat untuk bersama-sama dalam usaha ini, demi menstabilkan keadaan politik dan memajukan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, MCA, sebagai parti dalam komponen Barisan Nasional (BN) mendesak Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur selepas beliau dikatakan membuat keputusan bertentangan seperti diputuskan Dewan Tertinggi BN.

Sin Woon ketika itu, merujuk kepada satu surat yang tular, yang mendakwa Ahmad Zahid menerusi suratnya kepada Yang di-Pertuan Agong mempersembah cadangan sokongan Ahli Parlimen BN kepada Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), sebagai Perdana Menteri ke-10.

Semalam, Ahmad Zahid, berkata BN akan menyokong usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen pada 19 Disember ini supaya keabsahan jawatan dipegang Anwar dapat dimuktamadkan, sekali gus mendiamkan pihak yang cuba mempertikaikannya.

Selain itu, Sin Woon berkata, MCA akan sentiasa memainkan peranannya dalam melaksanakan semak dan imbang bagi memastikan Kerajaan Perpaduan menjunjung prinsip teras negara, iaitu kesederhanaan dan kepelbagaian budaya serta memimpin rakyat untuk maju ke hadapan.

Pada masa sama, Sin Woon memaklumkan, pada taklimat parti itu hari ini, selain melaporkan perkembangan terkini situasi politik kepada pemimpin akar umbi, MCA turut mengumpul maklum balas dan cadangan yang membina.

Katanya, keutamaan MCA kekal untuk menyemak keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), selain meneroka strategi untuk membina semula parti.

“Pada masa ini, parti kami akan fokus kepada dua kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri yang dimenangi.

“Kami tetap berazam untuk memperbaiki kelemahan kami dari dalam dan bagi mendapatkan sokongan pengundi,” katanya.

Loading...
Terkini