comscore
Tumpuan :
Nasional

MCA tidak perlu kecil hati atas kerjasama BN-DAP – Zahid

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Barisan Nasional

Oleh Selwam Arjunan

BAYAN LEPAS: MCA tidak perlu berkecil hati dengan kerjasama erat di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, sebaliknya menerima realiti politik semasa untuk mengukuhkan kesatuan di antara semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata semua parti komponen BN, termasuk MCA harus menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan parti masing-masing menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tanpa prasangka terhadap kerjasama yang dijalinkan dengan parti komponen gabungan lain.

“Kita mengingatkan diri kita sendiri bahawa BN terus diperkasakan. Bukan sahaja MCA, tetapi MIC, dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sebagai komponen teras kita, dan juga parti bersekutu dalam BN. Apa yang penting ialah kerjasama dengan semua parti di dalam BN.

“Namun perlu memahami realiti politik baru dalam kerajaan perpaduan, kita harus menyantuni keberadaan parti dalam kolobrasi ini yang terdapat 19 parti yang menganggotainya.

“Saya tidak mahu mana-mana parti berkecil hati apabila kita bekerjasama secara ‘smart partnership’ ini, tetapi perkukuhkanlah parti masing-masing untuk memperolehi sokongan.

“Sama ada sokongan daripada ahlinya, pengundi yang bukan ahlinya dan ketiga untuk berikan impak yang positif kepada partinya, bukan sebaliknya disebabkan perkara lampau.

“Jadi, perkukuhkan parti masing-masing untuk pengembangan dan daya sokongan yang lebih tersebar luas. Itu lebih penting daripada melayani kekecilan hati mana-mana parti politik,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan SEMICON Southeast Asia, di sini, pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon yang berkata Datuk Seri Zahid perlu meletakkan kepentingan parti komponen BN terlebih dahulu, berbanding PH, khasnya DAP.

Beliau menegaskan Datuk Seri Zahid perlu berpegang utuh kepada prinsip, selain berwaspada dalam hal berkaitan kerjasama antara kedua-dua gabungan.

Katanya, keutamaan perlu diberikan kepada parti komponen BN dalam mana-mana aspek politik dan bukannya parti komponen gabungan lain.

Ia dipercayai berpunca daripada kenyataan Datuk Seri Zahid sebelum ini yang menyatakan keyakinan bahawa ahli UMNO dan MCA sedia mengundi DAP dalam PRN akan datang atas semangat Malaysia Madani yang diterajui Kerajaan Perpaduan.

Loading...
Terkini