comscore
Tumpuan :
Politik

Menang 33 kerusi di Kedah? Biarkan PAS, termasuk Sanusi ‘syok sendiri’ – Rafizi

Oleh Kumaran Rajamoney

SUNGAI PETANI: Sokongan golongan muda kepada Perikatan Nasional (PN) dan PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) adalah kesan dari penerapan sentimen kebencian kaum yang memuncak menerusi dominasi dalam platform digital seperti TikTok.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata naratif yang dimainkan PN bagaimanapun dilihat tidak berkesan setelah kerajaan dibentuk, kerana pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih didominasi kaum Melayu.

“Tak ada beza pun sebenarnya. Rakyat sudah mula fokus kepada prestasi kerajaan menjadikan perkara melibatkan permainan perkauman sebelum ini akan mula terjawab sendiri sedikit demi sedikit.”

“Perkara ini Insya-Allah kita boleh bawa fokus kepada soal keberkesanan kerajaan, dan soal ekonomi.”

Momentum sokongan golongan muda kepada PN ini katanya akan berubah apabila mereka mula bekerja dan berkeluarga, sekaligus memahami agenda rakyat yang lebih rapat dengan perjuangan PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Menyentuh soal keyakinan Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa gabungan itu mampu memenangi 33 dari 36 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Rafizi menyifatkannya sebagai perkara “syok sendiri”.

“Biarkan orang PAS termasuklah Sanusi ‘syok sendiri.’ Tindakan mereka menyamakan keputusan PRU itu seolah-olah mereka popular akan memakan diri.”

“Situasi mereka ini sama seperti pengalaman Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2008 yang semacam ada gelombang dengan memenangi lima buah negeri. Namun, selepas itu kita berhadapan kesukaran kerana ada banyak perkara yang diberikan penekanan oleh rakyat termasuk rekod pentadbiran, dasar-dasar kita dan sebagainya.”

Rafizi berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen PKR Kedah dan Pulau Pinang di sini malam tadi.

Loading...
Terkini