comscore
Tumpuan :
Politik

MKT UMNO terima penjelasan undi DAP

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Puad Zarkashi berkata Ahmad Maslan menjelaskan beliau hanya menggesa ahli parti itu menyokong calon kerajaan perpaduan pada pilihan raya negeri nanti.- FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi menerima penjelasan Ahli MKT, Datuk Seri Ahmad Maslan mengenai kenyataannya yang meminta  ahli parti itu mengundi DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

Menurut Ahli MKT, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, penjelasan diberikan Ahmad Maslan ialah beliau tidak pernah menyebut  DAP sebaliknya meminta akar umbi menyokong calon kerajaan perpaduan.

“Ahmad Maslan beri penjelasan bahawa yang dia kata sebenarnya ialah supaya menyokong calon Kerajaan Perpaduan. Itu sahaja.

“Dia tiada sebut pasal DAP pun, jadi kita terimalah penjelasan itu. Kita nak Kerajaan Perpaduan kekal hingga cukup penggal,” katanya ditemui media selepas mesyuarat MKT di Menara Dato’ Onn di sini.

Ahmad sebelum ini menyebut pengundi UMNO boleh memilih calon DAP khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri yang tidak ditandingi calon UMNO atau Barisan Nasional (BN).

Undi itu diberi bagi membolehkan penyokong BN memberi sokongan kepada siapa saja calon Kerajaan Perpaduan termasuk DAP.

Malah, Ahmad berkata, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Kenyataan Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu mencetuskan rasa kurang setuju dalam kalangan ahli dan penyokong UMNO serta MCA.

Loading...
Terkini