comscore
Tumpuan :
Politik

Mohamed Khaled Dicalonkan Lagi Di Parlimen Pasir Gudang

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. (FOTO: NSTP)

PASIR GUDANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan pada pucuk pimpinan untuk menentukan beliau bertanding di mana-mana kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15).

Beliau berkata, namanya tersenarai antara lima calon yang diserahkan kepada pucuk pimpinan parti bertanding di kawasan Parlimen Pasir Gudang.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, pada ketika ini, parti dalam proses untuk menentukan calon di setiap kerusi Parlimen.

“Ini baharu di peringkat permulaan dan belum lagi selesai. Setiap bahagian diminta menghantar sekurang-kurangnya lima nama.

“Sekarang ini, Bahagian Pasir Gudang kemuka nama saya. Tetapi, apa pun keputusan akhirnya saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti. Setiap parti ada strategi dalam meletakkan calon. Jadi saya serahkan kepada kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang hari ini.

Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Baharudin Mohamed Taib.

Ketika ditanya jika khabar angin menyatakan beliau akan ke Parlimen Kota Tinggi, Mohamed Khaled menegaskan, keputusan dibuat pucuk pimpinan parti ialah strategi untuk masa akan datang.

“Dalam setiap pilihan raya, ia bukan semata-mata ada parti yang tawarkan. Kita mesti ada strategi dan kita juga fikir masa depan dan sebagainya.

“Kita fikir soal keseluruhan. Mungkin (kesannya) bukan untuk masa ini tetapi untuk masa akan datang. Itu semua kita ambil kira,” katanya.

Beberapa kain rentang yang dinaikkan di Kota Tinggi menolak kehadiran Mohamed Khaled bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

Parlimen Kota Tinggi disandang oleh Datuk Halimah Sadique. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini