comscore
Tumpuan :
Politik

Mohd Rafiq umum keluar parti, kecewa tidak dicalonkan 

 

Oleh Baharuddin Mohamed 

MELAKA: Naib Presiden Bersatu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengumumkan keluar parti sekaligus melepaskan semua jawatannya dalam parti itu.

Menurut beliau, keputusan itu susulan tidak dicalonkan parti di kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum (PRU-15), walaupun dijanjikan pucuk pimpinan sebelum ini.

Katanya, surat rasmi berhubung perkara berkenaan diserahkan kepada Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

‘Saya dimaklumkan oleh pucuk pimpinan tertinggi Bersatu bahawa saya akan dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tangga Batu. Namun beberapa hari lalu, saya dihubungi Presiden dan Timbalan Presiden (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) memaklumkan nama saya tidak akan dicalonkan di Parlimen ini.

“Sebaliknya saya ditawarkan bertanding di beberapa kerusi alternatif lain termasuk Parlimen Bagan Datuk yang bakal ditandingi oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang mana dalam konteks ini, saya merasakan struktur parti tidak lagi dihormati.

“Setelah memikirkan secara mendalam serta mengadakan perbincangan dengan beberapa pimpinan, ahli-ahli parti serta keluarga saya, maka dengan ini saya ingin mengumumkan kepada semua peletakan jawatan saya serta pemberhentian saya sebagai ahli parti berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, beliau mengakui kecewa apabila ditawarkan di tiga kerusi Parlimen lain di luar Melaka dan terkilan khidmat baktinya selama enam tahun di Parlimen Tangga Batu tidak diberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya.

“Tambahan pula, menjadi amalan dan tradisi bagi mana-mana parti politik di negara ini untuk memberi keutamaan kepada pemegang jawatan tertinggi parti seperti Naib Presiden parti untuk dipertimbangkan sebagai calon di kawasan yang dipimpinnya.

“Pelbagai inisiatif dan program membantu rakyat seperti Gerai Prihatin Rakyat telah saya mulakan untuk masyarakat Parlimen Tangga Batu walaupun tidak lagi mempunyai peruntukan wakil rakyat dan alhamdulillah, kini konsep itu telahpun diguna pakai oleh Bersatu dan PN di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu berhubung hala tuju polititiknya, beliau mengesahkan tidak akan bertanding di kerusi berkenaan atas tiket Bebas seperti didakwa sesetengah pihak.

“Walaupun saya tidak bertanding pada PRU-15 ini, saya dan rakan-rakan akan meneruskan perjuangan dan khidmat bakti kami menerusi platform NGO di Parlimen Tangga Batu, peringkat negeri dan nasional.

“Hubungan saya dengan presiden parti juga masih baik yang mana saya menghormati beliau sebagai pemimpin tertinggi dan berhubung ahli parti lain yang bersama saya, saya tidak minta mereka bersama- sama dan untuk keluar parti atau tidak… itu hak masing-masing,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu, Mohd Rafiq yang ketika itu merupakan Pengerusi PN negeri, tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dalam persaingan empat penjuru bersama BN dan Pakatan Harapan (PH).

BN berjaya merampas kerusi berkenaan daripada Bersatu dengan majoriti 2,076 undian.

Loading...
Terkini