comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Mohd Shukri angkat sumpah Menteri Besar Perlis ke-8

 

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

ARAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis ke 8, kira-kira jam 4.12 petang tadi.

Istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, di sini.

Bacaan doa disempurnakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mohd Shukri, 61, hadir ke istana pada jam 1.50 petang tadi memakai baju Melayu hitam lengkap bersamping.

Mohd Shukri merupakan Pesuruhjaya PAS Perlis dan juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis.

Beliau adalah pesara guru yang berperwatakan sederhana dan digambarkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

Kejayaan PN membentuk kerajaan negeri Perlis menyaksikan peralihan kerusi Menteri Besar yang sebelum ini dikuasai kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak merdeka.

Mohd Shukri memenangi DUN Sanglang sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pada PRU-15, beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,335 menewaskan calon BN, Pakatan Harapan (PH) dan Warisan.

Loading...
Terkini