comscore
Tumpuan :
Politik

MP Gua Musang yakin status wakil rakyatnya tidak terlucut

Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim.

KOTA BHARU: Walaupun keahliannya sebagai ahli BERSATU digugurkan, ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim yakin statusnya sebagai wakil rakyat tidak terlucut.

Jelasnya, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang surat daripada parti yang mengatakan keahlian beliau serta enam rakan lain digugurkan, sebaliknya hanya mengetahui perkara itu melalui laporan media.

“Jika merujuk Perkara 10.4 Perlembagaan parti yang baru dipinda baru-baru ini, ia mengatakan keahlian terhenti secara automatik sekiranya kita tidak memberi maklum balas dan akur kepada ketetapan parti.

“Memang perkara itu dipinda, namun tidak dikaitkan dengan akta lompat parti. Justeru, pada saya tidak adil kenyataan dikeluarkan oleh BERSATU mengatakan kelayakan kami sebagai wakil rakyat tergugur.

“Justeru, saya yakin jawatan saya sebagai wakil rakyat tidak terlucut memandangkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak berkait langsung dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN BERSATU digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, sambil menjelaskan ia diputuskan dalam mesyuarat baru-baru ini.

Katanya, BERSATU akan sekali lagi membawa keputusan berkaitan kedudukan wakil rakyatnya itu kepada pengetahuan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Mohd Azizi yang juga ADUN Nenggiri berkata, beliau kini fokus meneruskan khidmat kepada rakyat di Gua Musang selaku Ahli Parlimen dan ADUN.

“Berhubung soal keahlian tergugur, saya tidak boleh komen lanjut kerana saya tidak dimaklumkan perkara itu dan fokus saya adalah kepada rakyat.

“Sehingga saat ini saya juga masih setia setia dengan parti,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini