comscore
Tumpuan :
Politik

MPT BERSATU muktamad status 7 wakil rakyat berpaling tadah

Datuk Seri Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR: Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sudah memuktamadkan keputusan status tujuh wakil rakyatnya yang berpaling tadah.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat MPT BERSATU yang berlangsung semalam.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Status tujuh wakil rakyat yang berpaling tadah telah diputuskan dan Majlis Pimpinan Tertinggi mengarahkan Setiausaha Agung untuk membuat tindakan susulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, tujuh wakil rakyat BERSATU termasuk enam Ahli Parlimen mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Zahari Kechik (Jeli); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Seorang ADUN BERSATU pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari, iaitu Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Dalam pada itu, Hamzah berkata, menerusi mesyuarat semalam juga MPT memutuskan untuk Muhyiddin kekal sebagai Presiden BERSATU bagi pemilihan akan datang.

“MPT mematuhi ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan Khas BERSATU pada 25 November 2023 yang sebulat suara memutuskan Muhyiddin kekal sebagai Presiden bagi pemilihan akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya BERSATU juga kekal mengikut Perlembagaan parti bagi pertandingan untuk jawatan lain, dengan calon yang berhasrat untuk bertanding pada pemilihan Oktober ini perlu memohon kepada MPT selari dengan Fasal 14.14 dan 14.16 Perlembagaan BERSATU.

“Parti turut melantik Datuk Dr Radzi Jidin serta Abdullah Omar Bledram sebagai Ketua Bahagian (Penaja) Putrajaya dan Ketua Bahagian (Penaja) Labuan yang baharu.

“Pada masa yang sama, mesyuarat turut membincangkan banyak perkara melibatkan situasi terkini ekonomi negara, beban kos sara hidup rakyat yang tiada penyelesaian, isu penyasaran subsidi bahan api oleh kerajaan serta senario semasa politik negara yang meresahkan,” katanya.

Hamzah berkata, mesyuarat turut memutuskan beberapa tarikh persidangan antaranya persidangan peringkat cawangan akan diadakan pada 30 Julai hingga 31 Ogos ini, manakala persidangan peringkat cawangan pada 12 hingga 26 Oktober ini.

Selain itu, Perhimpunan Agung Sayap Bersekutu dan Srikandi Muda akan diadakan pada 28 November ini, Perhimpunan Agung Sayap Armada dan Srikandi pada 29 November ini dan Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU 30 November hingga 1 Disember ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini