comscore
Tumpuan :
Politik

MUDA terkilan tak terima jemputan ke mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR : Tidak diundang ke mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn malam tadi buatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) rasa terkilan.

Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi menjelaskan tidak menerima sebaran jemputan termasuk menerusi surat, mesej atau email.

“Saya Setiausaha Agung parti. Kalau ada sebarang komunikasi, sudah tentu melalui saya. Tidak ada surat, mesej, email yang diterima. Kami hanya tahu ia berlangsung dari media,” katanya menjawab satu perkongsian dari ciapan pengguna akaun di Twitter beliau hari ini.

Malam tadi berlangsung mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri semua pemimpin parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Namun, kelibat pemimpin utama atau wakil dari MUDA tidak kelihatan.

Pada sidang media selepas mesyuarat itu, Anwar memaklumkan penubuhan tiga jawatankuasa membabitkan semua parti dalam kerajaan iaitu Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

Mengulas lanjut, Amir berharap sedikit taklimat diberikan kepada mereka bagi membolehkan partinya yang kini menjadi sebahagian kerajaan mengetahui sedikit perkembangan hasil dari mesyuarat berkenaan.

“Khabarnya semalam berlangsung mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan. Nampak ada logo MUDA. Tapi (MUDA) tak tahu apa-apa. Tak ada jemputan. Tak ada makluman. Tahu-tahu dah ada keputusan.

“Mungkin sekurang-kurangnya, boleh bagi taklimat hasil mesyuarat?” katanya.

Cadangan penubuhan sekretariat itu sebelum ini diluluskan kerajaan dan dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini