comscore
Tumpuan :
Politik

MUDA: Zahid Hamidi tawar sogokan kepada pengundi

FOTO: Facebook Parti MUDA Malaysia

KUALA LUMPUR: Kesemua 19 calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) 2023 mempersoalkan tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menawarkan unsur ‘sogokan’ dalam ceramah politiknya di Terengganu, malam semalam.

Dalam ucapan itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri meluluskan RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 bagi kelab bermotosikal di negeri itu.

Menurut MUDA, atas dasar itu, semua calonnya yang bertanding di 19 Dewan Undangan Negeri (DUN) di empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Terengganu dan Negeri Sembilan mendesak supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak segera terhadap pelakuan itu.

“Kami merujuk kenyataan dibuat Ahmad Zahid di Kuala Terengganu semalam, yang mana berlaku unsur sogokan untuk mendapatkan undi di musim pilihan raya ini.

“Kami juga mendesak untuk Kerajaan Persekutuan menyatakan pendirian ke atas tindak-tanduk seperti ini,” kata mereka dalam kenyataan media secara bersama di sini hari ini.

Berdasarkan transkrip dikongsi dalam kenyataan media itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dikatakan berucap seperti ini;

“Untuk Majlis Belia Negeri Terengganu saya luluskan RM250,000. Untuk pasukan bermotosikal seluruh negeri Terengganu saya berikan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk seluruh motosikal di negeri Terengganu.

Itu baru saya, lepas ini PM (Perdana Menteri) naik dia akan top up (tambah), akan tambah, asalkan pada 12 Ogos nanti, para belia mengikut gelombang biru dan gelombang merah yang ada di negeri Terengganu boleh?”

MUDA mendakwa, wujudnya suatu bentuk sogokan apabila dinyatakan ‘”asalkan pada 12 Ogos nanti (hari mengundi), belia mengikut gelombang biru dan merah” yang mana beliau membayangkan sagu hati dan peruntukan ini berkait langsung dengan pilihan raya.

Katanya, timbul juga persoalan sama ada peruntukan khas yang diluluskan di atas pentas ceramah politik adalah suatu dasar yang wajar, berintegriti dan telus.

“Kenapa hanya belia negeri Terengganu mendapat peruntukan khas ini? Bagaimana pula belia di negeri lain terutama negeri yang tidak mengadakan pilihan raya?

Adakah sekiranya, pengundi memilih parti lain selain daripada gelombang biru dan merah, maka kelulusan ini dibatalkan?” katanya.

Mereka turut mempersoalkan pendirian kabinet terhadap tindakan menteri yang dilihat membelanjakan wang rakyat sesuka hati seolah-olah ia diambil daripada akaun simpanan peribadi.

Katanya, mereka dengan tegas menolak politik lapuk seperti ini dan menyeru supaya rakyat membuat pilihan yang lebih baik pada hari pengundian nanti.

27 Jun, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon PAS, Datuk Ahmad Amzad Hashim bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU 15.

Mahkamah dalam keputusannya berkata walaupun pempetisyen tidak dikemukakan sebagai saksi, bukti-bukti lain mencukupi untuk mengisytiharkan kerusi bagi Parlimen Kuala Terengganu terbatal dan tidak sah mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Berikutan itu, pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu diarah diadakan semula pada 12 Ogos depan dengan proses penamaan calon turut berlangsung hari ini, serentak proses penamaan calon bagi PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Loading...
Terkini