comscore
Tumpuan :
Politik

Muhyiddin angkuh, Zahid tak perlu letak jawatan – Puad

Muhyiddin Yasin & Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai angkuh apabila mendesak Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.

Ahli MKT UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata sebaliknya ketika PN kalah di pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini, Muhyiddin tidak meletak jawatannya selepas gabungannya mengalami kekalahan teruk.

“Jangan menuding jari. Ia beban bersama. Mendesak Ahmad Zahid letak jawatan bukan penyelesaian. Semua bertanggungjawab.”

“Muhyiddin angkuh bila suruh Ahmad Zahid letak jawatan. Bila PN kalah teruk di Melaka dan Johor, dia tidak letak jawatan. Dia kekal Presiden BERSATU sedangkan dia kluster mahkamah,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, UMNO yang mengalami kekalahan terburuk dalan PRN di enam negeri kelmarin perlu mendapatkan semula sokongan orang Melayu.

“Menteri-menteri UMNO mesti serius menjayakan agenda Melayu dan rakyat. Kuasa di tangan mereka.”

“Sebab itu UMNO mesti kekal dalam Kerajaan Perpaduan. PH-BN perlu mengukuhkan kerjasama. Ahmad Zahid sesuai pikul misi ini. Dia tidak perlu letak jawatan. Jangan melatah,” katanya.

Selain Ahmad Zahid, Muhyiddin kelmarin juga mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan serta merta susulan penolakan pengundi Melayu dalam PRN di enam negeri.

Muhyiddin menyifatkan, kemenangan PN di kerusi majoriti Melayu dan kawasan campuran membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh serta perpaduan palsu yang diterajui oleh Anwar dan Ahmad Zahid.

Loading...
Terkini