comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Muhyiddin cabar SPRM siasat Anwar, Zahid

KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, suruhanjaya itu perlu menyiasat kedua-dua pimpinan tertinggi negara itu dan bukannya membuat pendakwaan terpilih terhadapnya dan BERSATU.

“Saya cabar SPRM dakwa Anwar dan Zahid Hamidi. Pendakwaan terhadap saya begitu cepat bertujuan untuk melumpuhkan BERSATU dan PN sebelum PRN sebab mereka takut.

“Ini adalah pemangsaan politik secara terpilih yang dilakukan secara rakus. Bukan sahaja akuan dibeku, vendor dan pembekal bahan terhadap BERSATU juga disiasat, bukan sahaja pemimpin. Apa tujuan mereka disiasat?” katanya ketika berucap dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung BERSATU di Menara PGRM, hari ini.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tambah Muhyiddin, beliau melihat pendakwaan yang dilakukan terhadap pemimpin BERSATU sebagai usaha menakutkan orang ketiga.

Katanya, ia bagi memastikan agar tiada lagi pihak yang akan membekalkan barangan dan memberi sumbangan kepada BERSATU kerana takut akan jadi mangsa pendakwaan terpilih.

Muhyiddin mendakwa, beliau satu-satunya presiden parti yang didakwa di mahkamah disebabkan partinya menerima dana politik.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, sekiranya didapati bersalah, beliau juga tidak akan mampu membayar hukuman denda yang akan dikenakan terhadapnya.

“Dua hari lalu, saya diheret ke mahkamah untuk enam pertuduhan kerana didakwa menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri untuk menerima dana politik bagi BERSATU.

“Esok satu lagi pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam. Kesemua pertuduhan ini sebagai Presiden BERSATU bukannya (atas kapasiti) peribadi. Jika saya bersalah, saya akan dihukum lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda yang terpaksa saya bayar. Mungkin saya juga tidak mampu membayarnya.

“Inilah kali pertama seorang presiden parti didakwa di mahkamah kerana partinya menerima dana,” katanya.

Beliau menegaskan, sumbangan dana politik daripada ahli dan penyokong parti, termasuklah ahli perniagaan, hartawan dan dermawan perlu untuk sebuah parti politik menjalankan fungsinya dalam sebuah negara demokrasi.

“Demi untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan kewangan parti, saya menetapkan supaya setiap sumbangan kepada BERSATU mesti dimasukkan terus ke dalam akaun bank BERSATU, bukan ke akaun saya, atau melalui saya.

“Setiap aliran wang masuk dan keluar boleh disemak. Adakah terdapat rekod saya mengambil wang yang disumbangkan kepada parti untuk kegunaan saya? Tidak ada. Jika ada, saya pasti SPRM menjumpai buktinya kerana semua rekod akaun BERSATU sudah dirampas oleh SPRM.

“Yang jelas, dalam semua pertuduhan yang dikenakan ke atas saya, tidak ada satu pun pertuduhan yang berkaitan dengan wang masuk ke akaun saya. Semuanya masuk ke dalam akaun parti,” katanya.

Loading...
Terkini