comscore
Tumpuan :
Politik

Muhyiddin yang pecat saya – Tun M

 

 

Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA: Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yasin yang memecatnya sebagai Pengerusi BERSATU dan juga beberapa pemimpin BERSATU lain yang tidak setuju dengan Langkah Sheraton diambil bekas Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU sangat takut kehilangan jawatan Perdana Menteri hingga menyekat Parlimen daripada bersidang dan meminta darurat diisytiharkan.

Katanya, Muhyiddin seorang yang masih lagi bersikap angkuh dan hanya mahu menjadi Perdana Menteri, biarpun beliau sudah jatuh dan dihina UMNO.

“Muhyiddin cuba menafikan beliau pengkhianat yang terbabit dengan Langkah Sheraton dan cuba mengaitkan perkara itu dengan saya.

“Beliau memecat saya dan beberapa pemimpin BERSATU lain yang tidak bersetuju dengan Langkah Sheraton. Siapa yang dapat faedah daripada Langkah Sheraton ini, siapa yang jadi Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik melalui media sosial, petang ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab kenyataan Muhyiddin mendakwa gerakan membawa keluar BERSATU daripada Pakatan Harapan (PH) pada 2020, dimulakan Dr Mahathir.

Muhyiddin mendakwa Dr Mahathir membuat pusingan U di saat akhir, apabila Majlis Presiden PH dalam mesyuarat pada 21 Februari 2020 mengambil keputusan terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

Katanya, usaha membawa keluar BERSATU itu digerakkan susulan tindakan beberapa pihak dalam PH yang mendesak Dr Mahathir berundur bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilantik Perdana Menteri Kelapan.

Dr Mahathir berkata, minggu lalu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui beliau yang menggerakkan Langkah Sheraton bersama-sama Muhyiddin sebelum Ahli Parlimen Pagoh itu menjadi calon Perdana Menteri.

“Sebenarnya amat mudah nak pastikan siapa pengkhianat. Ada satu ungkapan bahasa Latin ‘cui bono’, yang bermakna siapa yang mendapat keuntungan daripada sesuatu keadaan.

“Siapa yang jadi Perdana Menteri pintu belakang atau tebuk atap? Bukan saya, tetapi Muhyiddin,” katanya.

Dr Mahathir juga mendakwa Muhyiddin sebagai seorang yang tidak tahu malu kerana sanggup meminta perisytiharan darurat sekali lagi demi mengekalkan jawatannya, biarpun permohonannya sebelum itu ditolak Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, Muhyiddin juga menuduhnya bersetuju supaya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjadi Perdana Menteri, namun tidak mendedahkan soalan Dr Mahathir sama ada dia memegang jawatan itu dengan sokongan kleptokrat.

“Dia jawab sanggup dan dengan angkuh berkata dia tahu macam mana mahu tangani kerana dia ada pengalaman politik lebih 40 tahun.

“Akhirnya Muhyiddin tersembam selepas cuma 17 bulan menjadi Perdana Menteri selepas dikhianati oleh Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sebelum itu bersama-sama mengkhianati rakyat untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang,” katanya.

Dr Mahathir turut mendakwa, Muhyiddin yang bertanggungjawab mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ketika negara sedang teruk dilanda COVID-19 sehingga kes naik mendadak selepas pilihan raya itu dan membabitkan kematian ramai penduduk Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, Muhyiddin sanggup melakukan apa saja termasuk membiarkan BERSATU kehilangan kuasa di beberapa negeri yang dipimpin parti itu, asalkan kekal menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau sanggup mencadangkan kerjasama antara Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan GTA bersama PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum ini kerana beliau percaya selepas dijatuhkan dan dihina, Muhyiddin sudah bertaubat atau berasa kesal dengan perbuatannya.

“Dia khianat saya tidak mengapa, saya sangka dia cuba tebus khianatnya kepada parti BERSATU sehingga hilang beberapa negeri dan kepada rakyat keseluruhan. Rupanya dia tetap angkuh dan hanya mahu menjadi Perdana Menteri,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini