comscore
Tumpuan :
Politik

Naib Canselor UTeM calon BN di Hang Tuah Jaya?

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Dr Massila Kamalrudin dijangka membuat kejutan dan bakal diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya.

Desas desus nama Massila mula kedengaran sejak semalam, dan dikhabarkan beliau hampir pasti menjadi calon BN untuk merampas kembali kerusi berkenaan.

Massila yang ditemui enggan mengulas lanjut dan meminta semua menunggu pengumuman rasmi yang akan diadakan BN malam ini.

“Baru disebut-sebut sahaja, saya tidak mahu komen dan kita tunggu sahaja lah nanti.

“Kita tunggu sahaja, apa-apa pun (tolong) doa yang baik baik. (Saya) ada muka nak jadi ahli politik ke? selorohnya ringkas ketika ditemui di sini hari ini.

Massila, 41, sebelum ini dilantik sebagai Naib Canselor sejak Mac 2022 lalu.

Beliau merupakan wanita kedua yang menerajui kepimpinan UTeM dan rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Pemilihan beliau sebagai calon di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan akar umbi UMNO dan BN kawasan memandangkan beliau tidak aktif dalam politik.

Semalam Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilaporkan berkata, BN negeri mengatur gerak kerja terancang termasuk strategi pemilihan calon.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pemimpin parti yang tidak dipilih untuk sentiasa berlapang dada dan memberi sokongan padu kepada calon yang dilantik bagi memastikan kemenangan parti.

“Kita telah memberikan gambaran yang mana bagi yang terpilih kita minta kerja bersungguh-sungguh dan jika tidak terpilih mereka perlu menyokong calon yang bakal diumumkan.

“Calon yang diletakkan tidak kiralah ahli akademik ke, ahli sukan, doktor, peguam, majistret, keputusan parti mengambil kira dalam pelbagai sudut untuk mengimbangi tuntutan sosial masyarakat sekarang dengan kombinasi tokoh-tokoh,” katanya.

Parlimen Hang Tuah Jaya yang dahulunya pernah menjadi kubu kuat BN berjaya dirampas calon PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sejak dua penggal lalu termasuk menewaskan bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada PRU-14 dengan majoriti 8,640 undi.

PH baru-baru ini menamakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim sebagai calon di kerusi berkenaan, manakala PN pula dikatakan akan mencalonkan bekas Rektor UTeM, Datuk Dr Mohd Rudin Abd Ghani.

Loading...
Terkini