comscore
Tumpuan :
Politik

Nepotisme? Saya berkhidmat selagi mahu – Hui Ying

 

 

Oleh Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: “Tidak timbul soal dinasti keluarga selagi ikhlas mahu berkhidmat kepada rakyat dan negara.”

Itu reaksi Senator Lim Hui Ying, anak pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang selepas dinamakan sebagai calon DAP bagi kerusi Parlimen Tanjong dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut Hui Ying, pencalonannya tidak harus dipertikaikan jika diterima ahli, penyokong serta pengundi di kawasan berkenaan.

“Selama ini memang ada banyak Lim dalam DAP, jadi selagi pemimin dan ahli DAP menerima ini bukan satu masalah. Saya tidak nampak ini sebagai satu masalah kepada sesiapa yang ingin berkhidmat untuk negara menuju Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Beliau ditemui media selepas diumumkan sebagai calon oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam Konvoi Harapan di Persiaran Karpal Singh, di sini, pagi tadi.

Senator Lim Hui Ying.

Hui Ying adalah individu ketiga dari ‘Keluarga Lim’ yang bertanding dalam PRU selepas bapanya, Lim Kit Siang yang pernah menjadi Ahli Parlimen di Pulau Pinang, Melaka, Perak, Selangor serta Johor.

Manakala abangnya, Lim Guan Eng merupakan Ahli Parlimen Bagan selama tiga penggal dan dicalonkan semula mengekalkan kerusi itu buat kali keempat pada PRU-15.

Kit Siang dan Guan Eng masing-masing pernah menjawat jawatan Pengerusi dan Setiausaha Agung DAP.

“Tanjong adalah kawasan Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) dan beliau bersedia untuk biarkan saya menyambung legasinya. Tanjong amat bermakna kepada saya, sebab DAP memulakan ‘Battle of Tanjong’ pada tahun 1986, jadi sejak itu Tanjong adalah kubu kuat DAP dan saya rasa berbesar hati untuk bertanding di Tanjong,” katanya lagi.

Lim Kit Siang memenangi Tanjong pada PRU pada tahun 1986 selepas mengalahkan (Tan Sri) Koh Tsu Koon dan mengekalkan kerusi itu selama tiga penggal sebelum bertukar tangan kepada Kon Yeow, yang mempertahankannya selama empat penggal.

Kon Yeow, yang juga ADUN Padang Kota akan berhijrah ke kerusi Parlimen Batu Kawan di Seberang Perai pada PRU-15.

“Saya berasa amat bertuah dan berterima kasih kepada DAP Pulau Pinang kerana mencadangkan nama saya dan juga kepada DAP Kebangsaan yang menerima cadangan dan mencalonkan saya untuk kerusi Parlimen Tanjong,” tambah Hui Ying lagi.

Selain Hui Ying, DAP turut menamakan satu lagi muka baharu, iaitu ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid, 42, bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera menggantikan penyandangnya, Wong Hon Wai.

Loading...
Terkini