comscore
Tumpuan :
Politik

‘No PKR, No DAP, No BERSATU hanya untuk berdepan PRU-15’ – Zahid

Presiden UMNO Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi

PETALING JAYA: Presiden UMNO meminta semua pihak memahami  prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah hanya untuk berdepan PRU-15 dan bukannya selepas pilihan raya umum itu.

Serentak itu, Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan sebarang kerjasama  antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) yang didalamnya terdapat DAP pada pasca PRU-15  tidak mengabaikan prinsip UMNO.

“Selepas pilihan raya umum, marilah kita merapatkan barisan.

Umpama ‘lidi seikat’ ini perlu bagi menyapu segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO dan pembersihan ini penting bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam,” ujar beliau menerusi hantaran di  facebook miliknya hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, apa yang berlaku dalam arena politik negara hari ini tidak akan menghilangkan identiti UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa.

“Sesuai dengan perkembangan, ia perlu cakna dengan perubahan semasa, dinamik dan dilihat inklusif,” katanya.

Zahid menegaskan, UMNO tetap mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap moderate, sederhana, centrik dan progresif dalam menangani perubahan.

“UMNO juga menolak parti menggunakan agama untuk berpolitik, sebaliknya UMNO secara bertanggungjawab menggunakan politik untuk memelihara perkara berkaitan kepentingan bangsa, Melayu-Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Justeru, kata beliau, kerjasama BN dan PH di Perak dan Pahang, khususnya adalah bagi memastikan kesinambungan dalam kesejahteraan dan kebajikan rakyat di negeri-negeri berkenaan.

“Kini adalah masa untuk bekerja dan memastikan segala aspek urusan pembangunan untuk diberikan perhatian sebagai jalan bergerak ke hadapan,” katanya.

Zahid yang juga Pengerusi BN, berkata kesan suasana ekonomi dunia yang mencabar, perlu ditangani dengan lebih baik di peringkat tempatan agar tidak memberikan kesan berterusan kepada negeri dan negara.

“Kerjasama yang dibina oleh BN Perak dan Pahang juga memancarkan realiti masyarakat berbilang kaum dan meraikan kepelbagaian sesuai dengan demografi negeri yang merupakan asas kepada pembentukan kerjasama strategik,” jelasnya.

Beliau menyifatkan pendekatan baharu ini adalah satu pilihan yang akan menjadi perintis kepada perpaduan dan keharmonian kerajaan agar fokus pembangunan dapat diteruskan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sifat keterbukaan ini mencerminkan  BN-PH merintis jalan baharu untuk membawa politik centrik, jalan kesederhanaan dan matang.

Tambah beliau, pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kini berbentuk kerajaan campuran selepas Perikatan Nasional (PN) menolak untuk menyertainya.

Loading...
Terkini