comscore
Tumpuan :
Politik

Nurul Hazwani tekad tetapkan rentak, hala tuju Puteri

Nurul Hazwani. –  FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Tidak mahu lagi hanya mengikut rentak dan hala tuju ditentukan orang lain, tetapi akan menetapkannya sendiri. Itu tekad Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan yang menawarkan diri menerajui sayap itu pada pemilihan parti Mac nanti. Apa lagi corak kepemimpinan baharu bakal ditampilkan Ketua Puteri UMNO Bahagian Seputeh ini jika diberi kepercayaan mengetuai pergerakan berkenaan.

Soalan (S): Mengapa saudari menawarkan diri bertanding?

Jawapan (J): Jawatan itu sudah dikosongkan selepas Datuk Zahida Zarik Khan bersara. Berikutan itu, terdapat gesaan daripada penyokong yang mahu saya bertanding kerana berasakan saya bukan sahaja boleh memimpin Puteri UMNO, tetapi mampu menjenamakan semula pergerakan ini untuk generasi muda. Mereka ini yang akan mewakili 50 peratus pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

S: Apa yang saudari tawarkan andai terpilih sebagai Ketua Puteri UMNO?

J: Saya akan menjenamakan semula Puteri UMNO dan mengangkatnya dari peringkat penyokong kepada pemimpin. Kita tidak lagi mahu hanya mengikut rentak dan hala tuju yang ditentukan oleh orang lain, tetapi akan menetapkan rentak dan hala tuju kita sendiri. Pendek kata, kami yang akan tetapkan piawaian untuk orang lain ikut.

S: Bagaimana peluang untuk menang kerana ada calon lain yang lebih menyerlah dan dikenali ramai?

J: Menjadi tokoh dikenali sebenarnya ada kekurangan, manakala yang kurang dikenali ada kelebihan. Publisiti diberikan boleh menjadikan ia perkara baik atau buruk. Apabila orang mengenali saya, mereka akan menilai saya berdasarkan apa yang pernah saya lakukan dan mungkin apa yang diperkatakan kelak tidak akan didengar. Sebagai orang baharu atau kurang dikenali, apa yang disampaikan atau tawaran diberikan mungkin didengari kerana mereka ingin tahu lebih lanjut mengenai saya.

S: Apa isu Puteri UMNO yang menjadi perhatian saudari?

J: Akar umbi Puteri UMNO sekarang inginkan pemimpin yang berfikiran bebas, agresif, berani melakukan perkara berbeza dan berani mencabar diri kerana dunia ini dibina oleh mereka yang berani. Manusia yang berani akan mengambil risiko untuk pergi ke bulan dan bukannya hanya duduk dalam rumah. Disebabkan itu saya tawarkan kepemimpinan baharu kepada Puteri UMNO.

S: Isu parti yang menjadi tumpuan untuk diperjuangkan?

J: Seperti dikatakan Presiden Bill Clinton, “It’s the economy.” Pada akhirnya, isu utama adalah mengenai periuk nasi rakyat. Demokrasi, kebebasan sivil, kebebasan itu dan ini, hak asasi manusia dan banyak lagi, semuanya akan berjalan dengan baik dan lancar apabila sesebuah negara itu maju dan makmur. Paling utama adalah rakyat mahu ada makanan tersedia atas meja mereka. Anda tidak boleh memberi atau menyara keluarga anda makan dengan idealisme. Untuk hidup anda perlukan pragmatisme.

Oleh itu, saya akan beri tumpuan yang lebih kepada program ‘Feed the rakyat’ (Memberi makanan untuk rakyat) dan ia mesti mempunyai rancangan yang teliti untuk jangka panjang, bukan sekadar solusi untuk jangka pendek. Puteri UMNO akan kemukakan cadangan dan penyelesaian untuk kerajaan pertimbangkan dan kami mempunyai kepakaran yang cukup dalam Puteri untuk melaksanakannya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini