comscore
Tumpuan :
Politik

Parlimen Tapah kekal ditandingi PKR, bukan MUDA – Anwar

IPOH: Kerusi Parlimen Tapah akan ditandingi calon PKR dan bukannya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata rundingan terakhir mengenai pembahagian kerusi antara kepimpinan Pakatan Harapan (PH) diadakan semalam dan memutuskan kerusi itu kekal ditandingi calon PKR.

“Kita juga sudah berbincang dan putuskan (kerusi Parlimen) Sungai Siput dan Tapah serta Sembrong (Johor) kekal ditandingi calon PKR.

“Walaupun ada pengumuman (MUDA bertanding di Parlimen Tapah) tetapi ia tidak betul kerana Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah maklumkan kepada saya bahawa (kenyataan Pengerusi MUDA Perak, Mutalib Uthman) tidak mewakili MUDA, Tapah itu kerusi PKR,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis minum petang bersama Anwar Ibrahim di Warung Nasi Lemak Kak Nor di Kampung Ulu Chemor di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mutalib dalam kenyataannya memaklumkan keputusan bertanding di Parlimen Tapah dibuat hasil rundingan kerjasama politik antara MUDA dan PH.

Anwar berkata, Majlis Presiden PH bersetuju kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong kekal ditandingi DAP hasil keputusan secara konsensus selepas mengambil kira pandangan kedua-dua parti iaitu DAP dan AMANAH.

“Walaupun AMANAH berikan hujah yang agak kuat (untuk bertanding di kerusi DUN Changkat Jong) tetapi selepas mengambil kira keputusan pelbagai pihak, kepimpinan PH (bersetuju) DUN Changkat Jong adalah untuk DAP,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan DAP dan AMANAH dilihat bertelagah berhubung DUN Changkat Jong apabila kedua-dua parti menamakan calon bertanding di kerusi itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bagaimanapun menegaskan tidak akan berlaku pertembungan kerana pucuk pimpinan PH sudah membuat keputusan menyerahkan kerusi itu kepada DAP. – BERNAMA

Loading...
Terkini