comscore
Tumpuan :
Politik

Parti komponen BN kemuka undi tak percaya terhadap Zahid

KUALA LUMPUR: Kepimpinan tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) mengemukakan ketetapan undi tidak percaya terhadap Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Usul berkenaan dikemukakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup menerusi sepucuk surat bertarikh hari ini.

Berdasarkan surat itu, undi tidak percaya terhadap Ahmad Zahid itu dibuat susulan tindakannya yang didakwa mengkhianati keputusan parti menerusi mesyuarat Dewan Tertinggi BN, pada jam 10 pagi semalam.

Mesyuarat berkenaan menetapkan pendirian BN yang berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak bagi menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

“Sebanyak 10 akuan bersumpah (SD) dihantar kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah ditarik balik setelah keputusan Dewan Tertinggi BN dibuat.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid telah menghantar surat kepada Istana Negara, tengah hari semalam.

“Surat berkenaan menyatakan sokongan 30 Ahli Parlimen BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10. Ini jelas mengkhianati BN dan pada masa sama telah menyembah maklum keputusan salah kepada Yang di-Pertuan Agong dan dianggap sebagai perbuatan menderhaka kepada Raja,” katanya.

Surat ditandatangani ketiga-tiga pemimpin itu antara lain meminta Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berundur secara terhormat serta-merta dan digantikan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Perkara ini sudah diusulkan Presiden MIC dalam mesyuarat semalam tetapi perjalanan mesyuarat terganggu apabila Pengerusi membenarkan Ahli Parlimen BN memasuki bilik mesyuarat walaupun mesyuarat Dewan Tertinggi BN belum selesai.

“Kami akan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi BN untuk mengambil tindakan tatatertib sekiranya Pengerusi enggan berundur secara terhormat pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon ketika dihubungi BH, mengesahkan surat berkenaan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Loading...
Terkini