comscore
Tumpuan :
Politik

PAS Akan Bincang Semula Isu Pendirian Pembubaran Tiga DUN

BACHOK: PAS akan mengadakan perbincangan semula berhubung pendirian parti itu mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri yang ditadbir mereka.

Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad, berkata perbincangan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kalau setakat pendirian sebelum ini kita tidak akan bubar (DUN), tapi mungkin akan ada perubahan nanti, namun parti yang akan putuskan nanti.

“Setakat yang diputuskan itu pendirian sehingga Mac dan yang terbaru akan dibincangkan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ijtimak Pondok Se-Malaysia, di sini, lewat malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung keputusan terbaru Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang membuat ketetapan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiuddin Hassan, berkata kerajaan PAS yang menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak akan membubarkan DUN lebih awal daripada Mac tahun depan.

“Keputusan itu atas dasar buat masa ini penumpuan yang lebih perlu diberikan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama di bidang perekonomian selain kesihatan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai resolusi Ijtimak Pondok Se-Malaysia antara lain yang memohon kesemua calon PAS pada PRU akan datang terdiri daripada individu yang tidak menyebarkan fahaman dan ajaran wahabi, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), berkata pandangan itu akan diperhalusi oleh pucuk pimpinan.

“Pandangan dan cadangan itu, kami akan bawa kepada parti,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini