comscore
Tumpuan :
Politik

PAS bincang dengan komponen PN tawaran sertai Kerajaan Perpaduan

PETALING JAYA: PAS akan membincangkan tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan dengan rakan-rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dalam waktu terdekat.

Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata PAS juga akan meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya pengundi yang memberikan undi memberangsangkan kepada PAS dan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“PAS mengucapkan terima kasih atas tawaran, …seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malam tadi,pada sidang media sulung selepas mengangkat sumpah memegang jawatan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak PN mendukung kerajaan perpaduan yang ditubuhkannya.

Beliau berkata, saranan itu dibuat bagi membolehkan sebuah kerajaan yang kukuh dapat mentadbir Malaysia.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, PAS mengucapkan syukur ke hadrat Allah kerana kemelut kepimpinan negara pasca PRU-15 tidak berterusan dan dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai.

Katanya, PAS menerima dengan redha dan hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

“PAS menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi Baginda berdasarkan kuasa yang diperuntukkan mengikut undang-undang khususnya dalam soal perlantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.

“PAS turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

“PAS yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisme yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata,” katanya.

Loading...
Terkini