comscore
Tumpuan :
Politik

PAS Tegaskan Tiada Kerjasama Dengan PH

Oleh Salina Zakaria

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

PETALING JAYA: PAS berpendirian tidak akan menjalin sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
 
Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, keputusan itu dimuktamadkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat yang diadakan semalam.
 
“PAS tetap mengutamakan konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah dan pendirian politik, justeru parti optimis terhadap pendekatan penyatuan ummah yang boleh dicapai melalui kerjasama parti-parti utama di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
 
Parti berkenaan ujarnya perlu mempunyai teras konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputera kerana ia formula paling berkesan serta diterima majoriti rakyat Malaysia.
 
“PAS secara tegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan mahupun mana-mana parti komponennya dalam menghadapi PRU15, termasuklah cadangan konsep ‘khemah besar’,” katanya lagi.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, kerajaan negeri diteraju PAS tidak akan membubarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri lebih awal dari Mac tahun depan.
 
Tindakan berdasarkan pertimbangan bagi memberi tumpuan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat khasnya dalam bidang ekonomi selain dari kesihatan.
 
Selain itu katanya, PAS juga mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik mewujudkan kerjasama politik dengan pihak mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15.
 
Keputusan itu kata Datuk Seri Takiyuddin demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
 
“Kesemua perkara berkenaan bakal diberikan tumpuan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-68 yang diadakan di Alor Setar, Kedah mulai 3 dan 4 September 2022,” katanya.

Loading...
Terkini