comscore
Tumpuan :
Politik

Pasar malam Presint 2 mungkin beroperasi tiga kali seminggu

Calon BN Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendekati pengundi di Pasar Malam Presint 2 hari ini

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pasar malam di Presint 2 akan diteruskan dan berkemungkinan beroperasi tiga kali seminggu berbanding dua kali seminggu ketika ini.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ia bagi memberi peluang kepada warga Putrajaya untuk mendapatkan pilihan barangan keperluan pada harga berpatutan.

“Kita tengok keadaan, kita akan lakukan (penambahan bilangan hari operasi pasar malam). Yang penting ada alternatif untuk rakyat datang membeli dengan harga murah. Saya selalu seru kawan saya (peniaga) memberi harga berpatutan kepada warga Putrajaya,” katanya ketika ditemui pada program mendekati pengundi di Pasar Malam Presint 2 di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya selama empat penggal berkata, pengoperasian pasar malam berkenaan adalah hasil perjuangannya sebagai wakil rakyat di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

Pada masa sama, Datuk Seri Tengku Adnan menggalakkan peniaga Bumiputera dari dalam atau luar Putrajaya untuk berniaga dan membawa hasil jualan mereka.

“Kita nak beri peluang kepada warga Putrajaya terutama penjawat awam untuk dapat membeli keperluan harian mereka dan merasa makanan tertentu dari daerah lain di sini,” katanya.

Sementara itu, hujan renyai sejak jam 5 petang tadi tidak mematahkan semangat Datuk Seri Tengku Adnan dan dua calon lain yang bertanding di Parlimen Putrajaya iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Mohd Rosli Ramli dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menyantuni peniaga serta penduduk di pasar malam tersebut.

Malah, ketiga-tiga calon berkenaan tidak berasa kekok dan kelihatan profesional apabila bertembung sesama mereka tanpa dirancang dan bersalaman serta mengambil gambar bersama-sama.

Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru termasuk calon Pakatan Harapan (PH), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz serta dua calon bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.

Calon-calon di P125 Putrajaya

 

Loading...
Terkini