comscore
Tumpuan :
Politik

PASCA PRU-15: DAP kunjung hormat Premier Sarawak, mohon maaf secara terbuka

KUALA LUMPUR: DAP pagi ini, mengadakan kunjungan hormat ke atas pimpinan tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) ketika spekulasi mengenai pembentukan kerajaan perpaduan dilihat semakin hampir menjadi kenyataan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memaklumkan, beliau membuat kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, di kediamannya di Kuching, dengan turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Prof Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

DAP dilihat menghulurkan ‘salam perdamaian’ kepada GPS pada pertemuan itu, apabila Loke mewakili DAP memohon maaf jika ada kenyataan yang pernah dikeluarkan pemimpin parti berkenaan telah menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak.

“Kami mengadakan perbincangan secara mesra. Saya sudah memaklumkan kepada Premier bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili DAP memohon maaf secara terbuka.

“Saya berharap pertemuan, hari ini, akan membuka satu lembaran baharu untuk membina persefahaman dan kerjasama demi Malaysia yang lebih maju serta progresif,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook, hari ini.

Pertemuan dan permohonan maaf secara terbuka oleh DAP kepada GPS itu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, meminta gabungan utama parti politik negara membentuk kerajaan perpaduan, susulan kemelut pembentukan kerajaan yang berlanjutan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Al-Sultan Abdullah menzahirkan titah mengenai pembentukan kerajaan perpaduan ketika bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa lalu.

Namun Muhyiddin menolak cadangan berkenaan.

Baginda kemudian meminta Barisan Nasional (BN) dan GPS untuk mempertimbangkan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan, ketika bertemu wakil pimpinan dua gabungan parti politik itu, semalam.

Semalam, UMNO memuktamadkan keputusan dengan menyokong untuk menyertai kerajaan perpaduan seperti dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, tetapi bukan yang diterajui PN.

Loading...
Terkini