comscore
Tumpuan :
Politik

PASCA PRU-15: Hishammuddin antara 4 Ahli Parlimen BN tidak hadir pertemuan dengan PH

KUALA LUMPUR: Empat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk dua daripadanya dikatakan mengalami masalah kesihatan, tidak hadir dalam pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) di sini hari ini.

Selain Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mereka yang tidak hadir ialah Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan dan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli.

Adnan dan Shamshulkahar tidak dapat hadir kerana tidak sihat.

Seramai 26 Ahli Parlimen hari ini bertemu pemimpin utama PH yang antara lain bagi mengadakan perbincangan berkaitan sokongan untuk calon Perdana Menteri.

Hishammuddin secara terbuka menolak sebarang kerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan termasuk menamakan calon Perdana Menteri daripada PH.

PH kini sedang berusaha mengumpul sokongan bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan, dengan sokongan Ahli Parlimen BN diharapkan dapat dilengkapkan bagi meraih cukup 112 majoriti mudah.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 (PRU-15), PH menang di 82 kerusi Parlimen dan memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi atau sokongan Ahli Parlimen bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan.

Setakat hari ini, PH sudah memperoleh sokongan daripada tiga Ahli Parlimen Parti Warisan (WARISAN) dan seorang Ahli Parlimen dari Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Angka sokongan sebenar daripada kalangan Ahli Parlimen UMNO masih belum dapat dimuktamadkan buat masa ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini