comscore
Tumpuan :
Politik

PASCA PRU-15: Ismail Sabri luang masa sejam setengah di Istana Negara

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meluangkan masa hampir sejam setengah di Istana Negara, hari ini.

Ismail Sabri yang menaiki kereta Audi berwarna hitam diiringi motosikal dan kereta polis tiba di pintu satu Istana Negara pada jam 2.50 petang, sebelum keluar mengikut pintu sama jam 4.15 petang.

Tiga minit selepas Ismail beredar, kelihatan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipercayai membawa Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, keluar dari pintu terbabit.

Kehadiran mereka dipercayai untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tumpuan terarah di Istana Negara apabila gabungan parti politik yang dipersetujui perlu mengemukakan nama seorang Ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10 kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum jam 2 petang esok.

Ia selepas Istana Negara menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, semalam.

Baginda dijangka memanggil ketua-ketua parti untuk menghadap baginda bagi mendapatkan kepastian sendiri daripada mereka mengenai pendirian gabungan blok parti.

Berdasarkan keputusan yang diumumkan SPR, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi 73 kerusi dengan jumlah keseluruhan 222 kerusi Parlimen dipertandingkan.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 30 kerusi, diikuti Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (6), Parti Warisan Sabah (WARISAN) (3), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (1) dan calon Bebas (2).

Loading...
Terkini