comscore
Tumpuan :
Politik

PASCA PRU-15: Kemelut calon PM: “Pilihan hati sudah ada….” – Saravanan

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mengakui beliau ada pilihan sendiri siapa akan disokong menjadi Perdana Menteri Ke-10 dan mengetuai kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tapah itu, berkata keputusan akhir, sama ada menyokong Pakatan Harapan (PH) diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Perikatan Nasional (PN) diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, bergantung kepada persetujuan Barisan Nasional (BN).

“Pilihan hati sudah ada, tapi kena tengok pilihan parti. Walaupun ada pilihan hati, masih kena ikut pilihan parti,” katanya kepada pemberita ketika tiba di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Siapa calon PM Ke-10 dijangka diputuskan hari ini, terarah kepada Anwar dan Muhyiddin, ketua dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Sabtu lalu.

Pada PRU-15, PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, manakala PN pula mendapat 73 kerusi, sekali gus memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk BN yang menang 30 kerusi.

Untuk menubuhkan kerajaan, sesebuah parti atau gabungan parti perlu mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Loading...
Terkini