comscore
Tumpuan :
Politik

[VIDEO] PASCA PRU-15: Pertemuan PH – MP PKR bincang sentimen masyarakat

 

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PETALING JAYA: Pertemuan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Ahli Parlimen PKR di Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH hari ini antara lain dijangka membincangkan sentimen masyarakat yang dikhuatiri mengganggu gugat keharmonian negara.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim berkata, pertemuan itu juga terarah kepada perbincangan isu jawatan Perdana Menteri ke-10 dan pembentukan Kerajaan Persekutuan baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

 

“Ada dua tiga benda yang kita akan bincang contoh isu berkait sekarang ini iaitu sentimen masyarakat, itu juga penting untuk dibincangkan berbanding ini (jawatan perdana menteri dan kerajaan baharu).

“Ada perkara yang di peringkat PKR pun kita wajar perhati terutama sentimen perkauman dan sebagainya yang sedang diperalatkan (pihak tertentu) untuk mencapai matlamat politik, itu satu kebimbangan yang kami sedang bincangkan,” katanya yang ditemui sebelum memasuki pintu pagar Pejabat Datuk Seri Anwar di Bukit Gasing di sini, tengah hari tadi.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim.

Justeru, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu meminta semua pihak untuk menjaga keharmonian dan tidak menggunakan sentimen perkauman sehingga merosakkan perpaduan negara untuk tujuan politik.

“Kempen pilihan raya dah tamat. Waktu kempen pun guna isu perkauman, selepas kempen pun guna isu perkauman, teruk kita kalau macam itu,” katanya.

Ditanya sama ada semua Ahli Parlimen PKR dijemput menghadiri pertemuan berkenaan, menurutnya, beliau tidak tahu kerana baru sahaja tiba di pejabat berkenaan.

Terdahulu, beberapa pemimpin PH dan Ahli Parlimen PKR dilihat hadir pada pertemuan terbabit.

Antaranya, Timbalan Pengerusi PH, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Timbalan Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan; serta Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.

Loading...
Terkini