comscore
Tumpuan :
Politik

Pasca PRU-15: PN sifatkan kerjasama UMNO-PH resipi untuk bencana

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – Foto: NSTP

IPOH: Perikatan Nasional (PN) menyifatkan langkah UMNO untuk menubuhkan kerajaan menerusi kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di Perak ibarat resipi untuk bencana.

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata keputusan UMNO sekali gus mengesahkan ura-ura yang berlegar sebelum ini mengenai jajaran baharu didalangi komponen Barisan Nasional (BN) itu dengan PH.

Justeru, beliau hairan lalu mempersoalkan apa sudah berlaku dengan pendirian tegas UMNO yang jelas menolak Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP selaku komponen gabungan parti itu.

“Tindakan ini mengesahkan cakap-cakap sebelum pilihan raya bahawa pemimpin UMNO sedang mengusahakan suatu bentuk jajaran baharu dengan PH semata-mata untuk kekal berkuasa.

“Kami juga tertanya-tanya di manakah keputusan Perhimpunan Agung Umno “No Anwar, No DAP?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal menegaskan bahawa PN Perak tetap dengan pendirian untuk menjadi pembangkang jika tidak dapat membentuk kerajaan negeri dengan mana-mana pihak.

Jelasnya sebarang kerjasama dengan mana-mana pihak, bermakna mereka perlu bersedia menerima prinsip perjuangan berpaksikan nilai prihatin, bersih dan stabil yang dipegang erat PN.

“PN Perak tidak akan sama sekali bekerjasama dengan PH yang di dalamnya ada parti DAP yang ditolak oleh sebahagian besar orang Melayu atau dengan mereka yang tercemar dengan masalah rasuah,” katanya.

Loading...
Terkini